Skip to main content

Soalan Peperiksaan Sekolah SMKM

BAHAGIAN A : SEJARAH MALAYSIA
MASA : 3 JAM

ARAHAN :

JAWAB EMPAT SOALAN SAHAJA.

1. Bincangkan hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada abad ke-19 dan nyatakan perbezaan di antara Adat Perpatih dan Adat Temenggung.

2. Perihalkan kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19

3. Bincangkan tindak balas pribumi terhadap campur tangan British di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

4. Jelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi perusahaan getah di Negeri-negeri Melayu pada akhir abad ke
19 dan awal abad ke-20.

5. Bincangkan pengagihan kuasa (desentralisasi) di negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an.

6. Bincangkan perkembangan pendidikan Melayu sebelum dan selepas kedatangan British di Tanah Melayu.




~ KERTAS SOALAN TAMAT ~


SOALAN 1
A. Pengenalan (3m)
Pada dasarnya undang-undang dibentuk dengan tujuan untuk memelihara keamanan, keselamatan dan ketertiban masyarakatnya. Walaupun kini undang-undang Malaysia berdasarkan undang-undang British, namun undang-undang tradisional telah memainkan peranan tersendiri di kalangan masyarakat Melayu. Undang-undang tradisional tidak dianggap sebagai undnag-undang bertulis, namun ia diamalkan dan diterima pakai. Ia dibentuk berdasarkan kepercayaan serta adat-istiadat dan amalan hidup orang Melayu.

B. Isi (5 isi -20m)
• Hukum adat merupakan satu bentuk amalan dan peraturan yang diwarisi sejak turun-temurun.
• Masyarakat Melayu sangat kuat berpegang kepada hukum adat sehingga lahirnya pepatah “biar mati anak, jangan mati adat”.
• Hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu mempunyai pengaruh keagamaan yang sangat jelas, misalnya pengaruh Hindu-Buddha dan pengaruh Islam.
• Antara hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu adalah berdasarkan kepada Adat Perpatih dan Adat Temenggung.
• Adat Perpatih merupakan amalan masyarakat Melayu keturunan Minangkabau.
• Adat Temenggung mula dikesan sejak zaman Melaka dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan.
• Adat khusus merupakan amalan yang diamalkan dalam sesuatu majlis atau upacara tertentu seperti adat melenggang perut, adat bersalin, adat perkahwinan, adat pertabalan raja dan sebagainya.

Perbezaan Adat Perpatih dengan Adat Temenggung
• Adat Perpatih disusun oleh Dato Perpatih Nan Sebatang, sementara Adat Temenggung disusun oleh Dato Ketemenggungan.
• Adat Perpatih diamalkan khusus oleh orang Melayu keturunan Minangkabau dan boleh dilihat dibeberapa kawasan terutamanya di Negeri Sembilan dan Naning. Sementara itu, Adat Temenggung diamalkan disemua negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan dan Naning.
• Dalam sistem pemerintahan, Adat Perpatih mementingkan prinsip demokrasi iaitu kuasa pemerintahan tidak berada di tangan seorang sahaja dan kerjasama di dalam masyarakat keseluruhannya. Pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak di mana ketua pelbagai peringkat dipilih dari peringkat bawah ke atas. Contohnya, anak buah memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yamtuan Besar. Sementara itu, Adat Temenggung lebih mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Mengikut Adat Temenggung, raja adalah pemerintah tertinggi dan berkuasa mutlak atau autokratik. Tempat baginda akan diwarisi oleh putero sulung atau adik lelaki selepas kemangkatan baginda. Raja mempunyai kuasa melantik pembesar untuk membantu mengendalikan tugas baginda.
• Dalam sistem kekeluargaan, Adat Perpatih mementingkan pihak sebelah perempuan. Hal ini dapat dilihat dalam soal pembahagian harta dan jurai keturunan yang merujuk kepada golongan sebelah perempuan. Perempuan menjadi ketua keluarga dan harta pusaka akan diturunkan daripada ibu kepada anak perempuan. Suami dikehendaki tinggal bersama keluarga isterinya. Perkahwinan sesama suku adalah dilarang. Sementara itu, Adat Temenggung pula mementingkan pihak sebelah lelaki dalam soal pembahagian harta, pemegang kuasa dan lain-lain. Gelaran dan pangkat akan disalurkan daripada ayah kepada anak lelaki. Lelaki menjadi ketua dan keturunan keluarga. Dalam soal perkahwinan, isteri dikehendaki tinggal bersama dengan keluarga lelaki. Dalam Adat Temenggung, perkahwinan dibenarkan selagi tidak melanggar hukum syarak.
• Pembahagian harta mengikut Adat Perpatih, harta daripada sesebuah keluarga akan diwarisi oleh anak perempuan sahaja. Tanah hanya dimiliki oleh anak perempuan. Harta akan diwarisi oleh ibu kepada anak perempuan. Harta pusaka turun-temurun adalah milik suku. Sementara itu, dalam Adat Temenggung, pewarisan harta pusaka lebih kepada mengikut hukum syarak. Di dalam hukum syarak, harta yang diwarisi oleh anak lelaki lebih banyak daripada harta yang diwarisi oleh anak perempuan.
• Dari segi jenayah, hukuman yang dilaksanakan oleh Adat Perpatih adalah bersifat timbang rasa dan peri kemanusiaan. Undang-undang jenayah berunsur pemulihan atau memperbaiki keadaan dan berdasarkan kerjasama serta jalinan kekeluargaan yang rapat. Adat Perpatih percaya bahawa orang yang melakukan jenayah boleh memperbaiki perangainya dan pulih menjadi seorang yang baik. Sementara undang-undang jenayah Adat Temenggung sangat ketat dan keras serta berpegang kepada prinsip pembalasan. Undang-undangnya bertujuan untuk menghukum.
• Adat Perpatih tidak dipengaruhi oleh unsur pengaruh luar. Sementara itu, Adat Temenggung mempunyai unsur pengaruh agama Hindu-Buddha dan kemudiannya agama Islam.

C. Kesimpulan (2m)
Kesimpulannya, adat perpatih dan temenggung merupakan amalan tradisi masyarakat melayu di Tanah Melayu dan peraturan ini diterima baik oleh masyarakat Melayu. Selepas kedatangan Barat sistem undang-undang tradisional ini telah dipengaruhi oleh undang-undang British.



SOALAN 2
Perihalkan kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19.

A. Pengenalan [3 m]
Selepas campur tangan British di negeri-negeri Melayu, kestabilan politik yang wujud membolehkan eksploitasi ekonomi dan politik sepenuhnya. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah menyebabkan kemasukan orang Cina dan India secara beramai-ramai. Penghijrahan kaum imigran mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu.

B. Isi (5 isi -20 m)
1. Faktor-faktor kewujudan masyarakat majmuk
a) Kesengsaraan sosial dan ekonomi di negara asal
Pertambahan penduduk melebihi pertambahan hasil tanah pertanian menyebabkan hidup rakyat menderita. Oleh itu, mereka berhijrah mencari penghidupan baru. Kerajaan Manchu mengenakan pelbagai cukai, petani terpaksa menjual tanah dan akhirnya mereka kehilangan tanah. Bertambah sengsara, kerap kali berlaku bencana alam. Pengangguran berleluasa, mereka terpaksa mencari pekerjaan di Tanah Melayu terutama orang Cina di bahagian Selatan. Di India, penduduk ramai tidak dapat menampung sumber makanan. Hidup petani menderita, terpaksa jual tanah. Amalan sistem kasta penghalang kepada mobiliti sosial dan ekonomi. Orang kasta rendah berhijrah ke Tanah Melayu. Indonesia keadaan yang serupa, taraf hidup petani rendah malah Belanda gagal meningkatkan taraf hidup mereka. Mengenakan pelbagai cukai seperti buruh, tanah, kelapa – menambahkan kesengsaraan rakyat.

b) Perkembangan ekonomi yang pesat di Tanah Melayu
Kemajuan pertanian dan perusahaan bijih timah dan getah menggalakkan kemasukan kaum imigran. 1840-an, banyak lombong dibuka di Larut, Lembah Kinta Tambahan pula, permintaan bijih timah bertambah di pasaran dunia akibat Revolusi Perindustrian di Eropah. Perusahaan getah memerlukan tenaga buruh yang ramai. Kemasukan orang India bertambah lebih-lebih lagi ketika harga getah meningkat. Perkembangan perusahaan ini dan pertanian ladang yang lain mewujudkan peluang pekerjaan. Hal ini mendorong orang Indonesia juga berhijrah ke sini.

c) Kestabilan politik dan galakan kerajaan
Campur tangan Inggeris 1874 memberi jaminan keamanan terutama di negeri yang kaya dengan bijih timah dan hasil ekonomi yang lain. Hal ini menjadi daya tarikan kemasukan modal eropah. Kemasukan imigran membekalkan tenaga buruh. Kerajaan juga mengamalkan dasar penghijrahan yang longgar sehingga tahun 1929, tidak mengenakan sekatan kerana memerlukan tenaga buruh yang murah dan banyak.
Orang India Selatan bekerja di ladang dan bergaji rendah. Orang Punjabi dan Sikh berkhidmat dalam polis dan tentera. Orang Tamil yang berpendidikan Inggeris berkhidmat dalam perkhidmatan perkeranian dan teknikal.
Menurut A.R. Rathborne, faktor pemerintahan British menjamin keamanan dan ketenteraman awam telah mendorong penduduk Indonesia untuk berhijrah ke Tanah Melayu.

d) Pergolakan dan korupsi politik di negara asal
Politik yang tidak stabil terutama bahagian China dan India. Wilayah Kwangtung dan Kwangsi sering timbul pemberontakan untuk menggulingkan Manchu. Contohnya, Pemberontakan Taiping. Untuk mengelakkan tekanan kerajaan, melarikan diri ke negara lain. Manchu amal rasuah dan kenaikan pelbagai cukai yang tinggi. Indonesia – pergolakan politik, tekanan daripada Belanda menyebabkan penghijrahan orang Bugis dan Sumatera.

e) Sifat mengembara dan perniagaan
Terutama bagi penduduk Kwangtung dan Fukien. Menurut Azizi Haji Muda, sifat pengembaraan, pelayaran dan pengembaraan ini yang ada pada orang Bugis merupakan faktor penggalak proses migrasi ke Tanah Melayu. Orang Minangkabau, keadaan sosial mempengaruhi penghijrahan mereka, sistem kekeluargaan matrilineal atau Adat Perpatih melahirkan konsep merantau kerana wanita berperanan besar dalam pemilikan harta pusaka.

2. Kesan migrasi
a) Wujud masyarakat majmuk di Tanah Melayu
Membentuk organisasi sosial dan budaya yang berbeza. Furnival mendefinisikan masyarakat majmuk sebagai pelbagai bangsa yang berbeza wujud dalam satu kawasan politik tertentu iaitu wujud berdampingan tetapi berasingan. Kaum-kaum imigran berpisah bukan sahaja kerana bangsa tetapi agama, bahasa, budaya, adat resam, kegiatan ekonomi, tempat tinggal dan taraf hidup.

b) Pertambahan bilangan penduduk
Peringkat awal kebanyakan imigran tidak menetap, untuk mencari kekayaan tetapi akhirnya ada yang berkahwin dengan orang tempatan dan menetap kekal. Orang India melebihi 30 000 orang pada tahun 1870 dan bertambah melebihi 120 000 orang pada tahun 1901.

c) Lahir satu kebudayaan yang unik.
Setiap kaum mengekalkan agama dan kepercayaan masing-masing. Melayu – agama Islam, Cina – Buddha, dan India – Hindu. Bahasa, ketiga kaum bertutur dalam bahasa ibunda yang berlainan.

d) Ekonomi – setiap kaum mengikut kegiatan tertentu
Melayu – bidang pertanian dan penaangkapan ikan
Cina – perlombongan dan perdagangan
India – ladang getah dan perladangan lain.

e) Kegiatan ekonomi – terpisah tempat kediaman
Melayu – kampung berhampiran kawasan pertanian dan pinggir laut
Cina – perlombongan dan bandar pusat perniagaan
India – di estet-estet dan kelapa sawit
Taraf kemajuan ketiga-tiga kaum berbeza mengikut jenis pekerjaan

C. Kesimpulan (2 m)
Keseluruhannya, faktor penolak seperti sosial, ekonomi dan politik negara asal serta faktor penarik seperti perkembangan ekonomi dan politik yang pesat mendorong penghijrahan imigran ke Tanah Melayu. Penghijrahan ini mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu.


SOALAN 3

A. Pengenalan (3 m)
Sebelum tahun 1874, British mengamalkan polisi tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Pegawai-pegawai British diarahkan supaya hanya menumpukan perhatian di Negeri-negeri Selat. Tujuannya ialah untuk mengelakkan permusuhan dengan Siam kerana Negeri-negeri Melayu khususnya Negeri-negeri Melayu Utara yang diakui sebagai negeri-negeri naungan Siam. Tetapi selepas tahun 1874, British mula mengubah polisinya terhadap Negeri-negeri Melayu dari dasar tidak campur tangan kepada dasar campur tangan. Pada mula-mulanya, British campur tangan di Perak, Selangor, Sungai Ujong dan Pahang. Seterusnya, campur tangan mereka merebak ke negeri Kelantan dan Terengganu selepas Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani. Campur tangan mereka di negeri-negeri tersebut telah membawa kepada perubahan pelbagai aspek dalam negeri tersebut. Keadaan ini telah menjejaskan kepentingan penduduk pribumi dan akhirnya mereka bangun bertindak untuk menentang pemerintahan British.

B. Isi (5 isi -20m)
- Di Pahang, perlantikan J.P. Rodger sebagai Residen Inggeris pertama amat tidak disenangi oleh pembesar-pembesar terutamanya Dato’ Bahaman dan Tok Gajah. Mereka ini pernah membantu Wan Ahmad dalam Perang Saudara (1857-1863) untuk merebut takhta kerajaan daripada abangnya, Wan Mutahir. Sebagai balasan, pmbesar-pembesar itu dianugerahi gelaran oleh Sultan Ahmad. Dato’ Bahaman dilantik sebagai Orang Kaya Semantan, Tok Gajah dilantik sebagai Orang Besar Raja. Apabila J.P. Rodger dilantik sebagai Residen Pahang pada bulan Oktober 1888, beliau mengambil langkah terburu-buru untuk memperkenalkan peraturan baru yang bercanggah dengan sistem tradisional Pahang. Keadaan inilah yang menjadi punca kepada tercetusnya peristiwa penentangan yang dipimpin oleh Daro’ Bahaman dan dibantu oleh Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau.

- Pada bulan Disember 1891, orang Melayu Pahang di bawah pimpinan Dato’ Bahaman melancarkan tentangan terhadap pentadbiran baru yang diwujudkan oleh Inggeris. Beliau mendapat sokongan daripada Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau. Dato’ Bahaman melancarkan serangan ke atas rombongan C.E.B. Desborough yang menawan dan enggan menyerahkan tiga orang pengikut Dato’ Bahaman yang dituduh mengutip cukai secara haram. Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya datang ke Bentong berjumpa dengan Penghulu di situ untuk melancarkan serangan ke atas balai polis di Bentong. Pada awal tahun 1892, Sultan Ahmad dan pembesar-pembesar Pahang mengadakan perjumpaan sulit di Pulau Tawar. Sultan Ahmad berjanji akan mengekalkan kedudukan tradisi pembesar. Sementara itu, para pembesar akan merujuk kepada Sultan terlebih dahulu sebelum menghubungi Residen Inggeris. Pada bulan Mac 1892, Dato’ Bahaman melancarkan serangan ke atas Lubuk Trua dan berjaya menawan bandar Temerloh. Pasukan Inggeris di bawah pimpinan Hugh Low dan E.A. Wise bersama angkatan Tengku Ali membuat serangan balas ke atas Dato’ Bahaman di Temerloh dan pertahanannya dimusnahkan. Beliau dan pengikut-pengikutnya sempat mengundurkan diri ke dalam hutan. Pada bulan April 1892, Panglima Muda Jempul menyerang Pekan. Beliau telah membunuh dua orang pegawai Inggeris iaitu Harris dan Steward. Pada 8 -- - Mei 1892, berlaku pertempuran di Batu Hampar. Dato’ Bahaman dikalahkan dan anaknya Awang Hamat terbunuh sementara Mat Lela pula cedera. Seterusnya, pengikut-pengikut Mat Kilau melancarkan serangan terhadap Inggeris dan menyebabkan beberapa orang Cina dan polis Sikh terbunuh pada awal bulan Mei 1892. Apabila Inggeris membuat serangan bebas, Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan pengikut-pengikutnya berundur ke Kuala Ceka tetapi mereka diserang di situ oleh tentera Inggeris. Akibatnya, Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa berundur ke Terengganu. Pada bulan Ogos 1892, Tok Gajah dan keluarganya berundur ke Kuala Tembeling dan bergabung dengan gerakan menentang Inggeris. Akhirnya, menjelang bulan September 1892, para pejuang Pahang mengundurkan diri ke Kelantan dan Terengganu. Inggeris memujuk Dato’ Bahaman dan Tok Gajah supaya menyerahkan diri dan dijaminkan pengampunan. Namun demikian, mereka enggan menyerah diri.

- Ketika bersembunyi di Terengganu, para pejuang Pahang mendapat perangsang dari seorang ulama bernama Tokku Paloh. Tokku Paloh menanam semangat perang jihad dan menghadiahkan sebilah pedang bertulis ayat al-Quran. Pada bulan Jun 1894, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau serta pengikut-pengikutnya melancarkan serangan ke atas balai polis di Kuala Tembeling. Lima orang polis terbunuh. Kemudian mereka menyerang dan menawan Kubu Jeram Ampai untuk mempertahankan kedudukan mereka. Pasukan Inggeris dengan bantuan orang Pahang telah melancarkan tindak balas. Pertempuran berlaku di Jeram Ampai dan pihak Inggeris menawan kubu itu. Para pejuang Pahang sekali lagi terpaksa mengundurkan diri ke Kelantan dan Terengganu. Hugh Clifford mengetuai sepasukan askar untuk memberkas mereka tetapi tidak berjaya kerana Sultan Kelantan dan Sultan Terengganu tidak memberi kerjasama yang diharapkan. Pada bulan November 1895, beberapa orang pembesar termasuk Dato’ Bahaman berundur ke Siam dan menetap di situ. Pembesar-pembesar lain seperti Tok Gajah dan Mat Kilau diwartakan meninggal dunia. Keseluruhannya perjuangan orang Melayu Pahang pada tahun 1891 hingga tahun 1895 mengalami kegagalan.

- Di Kelantan pula, kebangkitan menentang British bermuka sejak termeterainya Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902. Menurutnya, seorang Inggeris bernama William Amstrong Graham dilantik sebagai penasihat dan Pesuruhjaya Siam di Kelantan pada bulan Julai 1903. Beliau telah memperkenalkan pelbagai peraturan baru dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Kelantan. Kebangkitan ini semakin hebat apabila Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani antara British dengan Siam. Penglibatan British dalam pentadbiran Kelantan menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga tercetusnya kebangkitan di daerah Pasir Putih pada tahun 1915 yang diketuai oleh Haji Mat Hassan bin Munas (Tok Janggut).

- Tok Janggut yang mendapat sokongan daripada Engku Besar Jeram Tun Ahmad dan disokonh oleh Haji Said, Che Ishak, Penghulu Adam, Tok Husin, Tok Abas, Tok Laboh dan Tok Deraman telah menjalankan kempen mempengaruhi penduduk Pasir Putih menentang peraturan baru serta menentang Inggeris. Pad 28 April 1915, Encik Abdul Latiff, Pegawai Daerah Jajahan Pasir Putih mendapat berita yang Tok Janggut dan pengikutnya bermesyuarat di Kampung Jeram. Pada 29 April 1915, beliau menghantar Sarjan Che Wan dan beberapa orang anggota polis untuk menangkap Tok Janggut atas tuduhan tidak membayar cukai. Dalam pertengkaran yang berlaku, Sarjan Che Wan ditikam oleh Tok Janggut dan anggota polis yang lain dapat menyelamatkan diri dan membuat laporan kepada Encik Latiff. Peristiwa pembunuhan itu mencetuskan penentangan bersenjata rakyat Kelantan terhadap Inggeris di Jeram. Encik Latiff cuba mengambil tindak balas dengan menghantar 7 orang polis untuk menangkap Tok Janggut. Apabila pasukan polis tiba di Kampung Kelubi, mereka diberitahu bahawa Tok Janggut dan pengikutnya sedang mara hendak menyerang Pasir Putih. Dengan itu, Encik Abdul Latiff bersama kakitangannya berundur ke Kota Bharu dengan bot melalui Kuala Semerak. Tok Janggut, Engku Besar Jeram, Penghulu Adam dan Che Ishak Merbol melancarkan serangan tiga penjuru ke atas Pasir Putih kira-kira pukul 4 petang pada 29 April 1915 dan mendudukinya selama 3 hari. Mereka membakar pejabat-pejabat kerajaan, menawan balai polis dan membebaskan orang tahanan. Mereka kemudian menubuhkan kerajaan sementara di Pasir Putih. Engku Besar Jeram sebagai Raja Jeram dna Tok Janggut sebagai Perdana Menteri. Penasihat Inggeris, W. Longham Carter menerima berita ke atas serangan Pasir Putih pada 30 April 1915. Beliau menasihati Sultan Muhammad IV supaya menguatkan pertahanan Kota Bharu. Penasihat Inggeris meminta bantuan dari Singapura. Pada 5 Mei 1915, bantuan dari Singapura tiba di Tumpat dengan Kapal H.M.S. Cadmus yang terdiri daripada 239 orang di bawah pimpinan Kolonel C.W. Brownlow. Pada 9 Mei 1915, pasukan Inggeris tiba di Pasir Putih tetapi gagal menangkap pemimpin yang terlibat. Kebanyakan pemimpin telah melarikan diri ke dalam hutan dan juga ke Besut. Hadiah $500 ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut atau Engku Besar. Penghulu Adam telah menyerah diri. Rumah Tok Janggut, Che Ishak Merbol dan Haji Said dibakar. Pada 23 Mei 1915, Tok Janggut sekali lagi melancarkan serangan ke atas Pasir Putih. Hal ini memaksa Major Borton bersama 50 orang polis Sikh dan 7 orang Eropah datang ke Jeram pada 24 Mei 1915 untuk menjejaki kedudukan Tok Janggut dan pengikutnya. Tok Janggut dan pengikutnya yang berkubu di Kampung Dalam Pupuh akhirnya bertempur dengan pasukan Inggeris. Dalam pertempuran ini, Engku Besar Jeram Tun Ahmad telah mengalami kecederaan dan diselamatkan oleh Awang Deraman ke Reman, Negeri Thai. Mayat Tok Janggut di bawa ke Kota Bhasa. Setelah diarak, mayat beliau digantungkan dengan kepala di bawah di Padang Bank atau Padang Merdeka, Kota Bharu selama satu jam sebelum dimakamkan di Pasir Putih. Kebangkitan ini berjaya buat sementara sahaja dan mengalami kegagalan pada akhirnya disebabkan tindak balas British yang cepat dan handal.

- Usaha British meluaskan kuasa di Terengganu turut menyebabkan kebangkitan rakyat menentang British antara tahun 1922 hingga 1928. Punca kebangkitan ini juga disebabkan oleh tindakan British yang memperkenalkan peraturan yang mencabul kepentingan penduduk pribumi Terengganu dan peraturan yang bercanggah dengan agama Islam.

- Penentangan terhadap British yang pertama berlaku pada tahun 1922 di Hulu Telemong. Penentangan bermula apabila 43 orang rakyat ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membersihkan tanah dan bercucuk tanam tanpa mendapatkan pas kebenaran daripada Kerajaan Inggeris. Mereka dibela oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berjaya membebaskan mereka dari tuduhan dengan menitikberatkan undang-undang Islam.

- Pada tahun 1925, satu lagi kebangkitan menentang campur tangan British berlaku di Kuala Telemong. Kebangkitan ini disebabkan oleh beberapa orang yang telah membersihkan tanah kepunyaan Tengku Haji Nik dan tanah kerajaan yang terbiar untuk bercucuk tanam tanpa meminta pas kebenaran. Kebangkitan ini telah mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat Terengganu. Walau bagaimanapun, tidak berlaku sebarang kejadian buruk dalam kebangkitan tersebut.

- Peristiwa kebangkitan rakyat Terengganu di Hulu Telemong dan Kuala Telemong menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap British. Semangat kebangkitan rakyat Terengganu sampai ke kemuncaknya pada tahun 1928 di Kuala Berang. Penduduk Kuala Berang, Kampung Pelam, Tersat dan Dungun telah membuka tanah untuk bercucuk tanam tanpa mengambil pasa kebenaran daripada pihak Inggeris. British mengancam hendak mengambil tindakan ke atas penduduk yang terlibat. Berikutan dengan ancaman itu, penduduk dari kawasan-kawasan tersebut telah berhimpun beramai-ramai untuk bangkit menentang British. Pada 23 Mei 1928, penduduk yang berhimpun di Kuala Berang telah menguasai pejabat kerajaan dan memusnahkan balai polis di situ. Pegawai-pegawai Inggeris di Kuala Berang telah berundur ke Kuala Terengganu. Setelah kemenangan awal itu, pejuang-pejuang itu telah menuju ke arah Kuala Terengganu untuk mengadu masalah mereka kepada Sultan Sulaiman. Pada masa itu, Kerajaan Inggeris telah menghantar sepasukan polis di bawah pimpinan Datuk Seri Lela Diraja dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang untuk mengawal keadaan. Pasukan polis telah bertempur dengan rakyat yang sedang mara di Padang Kachong. Di situ, Datuk Seri Lela Diraja telah memberi amaran kepada rakyat supaya berhenti dan tidak meneruskan pergerakan. Walau bagaimanapun, kebanyakan mereka tidak menghiraukan amaran tersebut dan pasukan polis telah melepaskan tembakan. Dengan bantuan polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu, kebangkitan rakyat Terengganu dipadamkan. Semua pemimpin ditangkap dan dipenjarakan. Mereka ialah Haji Zakaria (7 tahun), Abu Bakar Chinting (10 tahun), Abdullah Juru Kaka (10 tahun), Mat Tok Pitas (5 tahun) dan Lebai Hassan (5 tahun). Penghulu Salleh Pasir Nyior telah dibebaskan. Haji Abdul Rahman Limbong dibuang negeri ke Makkah kerana beliau sangat berpengaruh. British takut hukuman penjara akan meningkatkan lagi semangat kebangkitan. Selain itu, beliau sendiri juga meminta British supaya menghantarnya ke Makkah untuk mendalami dan mengajar agama Islam.

C. Penutup (2m)
Penentangan pribumi terhadap pemerintahan British mengingatkan British supaya jangan melaksanakan sesuatu peraturan baru dengan terburu-buru. Peraturan baru haruslah diperkenalkan langkah demi langkah agar penduduk tempatan dapat menyesuaikan diri mereka dengan peraturan baru ini. Dengan itu, pada masa yang seterusnya, British telah mengambil sesuatu keputusan dengan berhati-hati agar tidak menimbulkan ketidakpuasan penduduk pribumi yang seterusnya mencetuskan penentangan.


SOALAN 4
A Pengenalan [3 m]
- Pada akhir abad ke-19, getah diperkenalkan selepas kejatuhan perusahaan kopi dan pada
abad ke-20, menjadi tanaman dagangan yang penting di Tanah Melayu.
- Sir Henry Wickham berperanan dalam perusahaan getah di TM. Getah berasal dari
Brazil, benih bermutu jenis Hevea Brasiliensis.
- Di peringkat awal hanya diusahakan secara kecil-kecilan oleh pengusaha Inggeris tetapi
menjelang abad ke-20 mula berkembangan disebabkan oleh faktor kejatuhan harga kopi
dan permintaan getah dunia.

B. Isi [20 m]
Faktor-faktor perkembangan perusahaan getah :

1 Sumbangan H.N. Ridley
- membuat penyelidikan cara penanaman, kesesuaian tanah dan pembekuan getah. Hasilnya telah ditulis dalam Straits and FMS Agriculture Bulletin.
- berusaha memujuk peladang di TM menanam getah sehingga digelar Ridley Getah atau Ridley Gila.
- memperkenalkan sistem torehan getah mengikut sistem ibedem atau tulang ikan Herring.
- memperkenalkan cara selamat mengangkut anak-anak getah dalam arang yang lembab untuk ditanam di ladang yang baru dibuka.

2 Kemerosotan harga kopi
- dua sebab iaitu persaingan kopi dari Brazil dan penawaran melebihi permintaan kopi di pasaran dunia.
- penyakit yang dibawa oleh kupu-kupu Beehawk memusnahkan pokok kopi.

3 Permintaan getah yang tinggi
- Rev. Perindustrian di Eropah dan Amerika Syarikat ; getah menjadi bahan mentah bagi pelbagai ciptaan. Contohnya di kilang-kilang automobil. Terciptanya tayar berangin oleh J.B.Dunlop. Amerika Syarikat menjadi pembeli utama getah dunia akibat perkembangan industri motokar.
- proses Vulcanization iaitu mencampurkan belerang dan haba ke dalam getah telah ditemui oleh Goodyear. Pelbagai kegunaan dalam industri membuat kasut, alat-alat elektrik, tayar basikal, perubatan dan perabot.
- harga getah telah meningkat sehingga mencapai tahap paling tinggi pada tahun 1910 iaitu $5.50. Orang Eropah dan Cina mula berminat dengan tanaman getah, juga diusahakan oleh pekebun kecil.
- peningkatan permintaan tinggi syarikat pengusaha Eropah spt Guthrie, Harrison and Crossfield, Sime Darby dan Dunlop mula membuat pelaburan membuka ladang-ladang getah di negeri-negeri Melayu manakala orang Melayu mengusahakan secara pekebun kecil.

4 Dasar kerajaan British
- kerajaan mengenakan kadar cukai tanah yang rendah iaitu 10 sen bagi 10 tahun pertama. Selepas itu dinaikkan kepada 50 sen seekar.
- duti eksport yang rendah bagi getah iaitu 2.5 % bagi 15 tahun dan selepas itu naik 5 % itu menggalakkan pembukaan ladang getah.
- kerajaan memperuntukan $ 4000 bagi menjalankan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti dan hasil getah. Pinjaman disediakan dengan kadar faedah yang rendah terutama bagi syarikat Eropah.
- sistem perhubungan spt jalan raya dan keretapi dibina untuk membawa getah ke pelabuhan.

5 Tenaga buruh yang murah
- menggalakkan kemasukan buruh asing dari India Selatan sebagai sumber tenaga ; dibawa melalui sistem kontrak dan sistem Kangani.
- orang Eropah yang berpengalaman dalam penanaman kopi di Sri Langka telah berhijrah dan membuka ladang di NNM.

6 Penyelidikan getah secara saintifik
- 1905- Jbt Pertanian ditubuhkan, 1907- Pertubuhan Penanaman Getah .ditubuhkan untuk memperbaiki mutu dan hasil getah dan menambahkan keluasan tanaman getah.
- 1926 – Institut Penyelidikan Getah ditubuhkan untuk memajukan perusahaan getah spt penyelidikan mengeksport getah dalam bentuk cecair, kaedah torehan yang saintifik dll.

C Kesimpulan [2 m]
- permintaan getah yang tinggi serta dasar kerajaan British yang berjaya menstabilkan politik mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di NNM.
- menjelang abad ke-20, getah telah menjadi sumber pendapatan dan Tanah Melayu muncul sebagai pengeluar getah utama dunia.


SOALAN 5

A. Pengenalan (3m)
Pengagihan kuasa (desentralisasi) merupakan proses pemulangan kuasa pentadbiran, perundangan, dan kewangan secara berperingkat-peringkat daripada kerajaan pusat kepada kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Dasar pengagihan kuasa telah dilaksanakan oleh Sir Lawrence Guillemard, iaitu persuruhjaya tinggi. Proses pengagihan kuasa dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an.

B Isi [20 m]
Sebab-sebab pengagihan kuasa tahun 1920-an
1. Rasa tidak puas hati sultan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu
Sultan-sultan di NNMB masih tidak berpuas hati dengan penubuhan MMP kerana adanya pemusatan kuasa di tangan residen jeneral. Sultan-sultan tidak memperolehi kuasa malah kedudukan mereka semakin rendah apabila sultan hanya menjadi ahli biasa dalam MMP dan setaraf dengan residen dan Ahli Tidak rasmi.
2. Kemelesetan ekonomi
Pada tahun 1921 hingga 1923, berlaku kemelesetan ekonomi dunia yang turut menjejaskan ekonomi tanah Melayu. Keadaan ini menyebabkan kerajaan persekutuan mengalami krisis kewangan yang serius.
Kerajaan persekutuan telah dikecam dengan hebat. Mereka mendakwa krisis ekonomi kerajaan pusat bukan disebabkan oleh kemelesetan ekonomi tetapi disebabkan oleh beberapa perkara iaitu; kelemahan pentadbiran kerajaan pusat; kerajaaan persekutuan terlalu banyak menggunakan wang untuk urusan pentadbiran di peringkat pusat; dan persuruhjaya tinggi dan ketua setiausaha mempunyai kuasa istimewa dalam soal menentukan perbelanjaan.
Kritikan-kritikan tersebut telah mendorong kerajaan British untuk menyemak semula dasar-dasarnya. Kerajaan British berpendapat cara yang sebaik-baiknya ialah dengan mengagihkan kuasa kerajaan pusat kepada kerajaan-kerajaan negeri.
3. Menarik minat Negeri-Negeri melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) bergabung dengan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB)
Kerajaan British menganggap pengagihan kuasa perlu dilakukan untuk menarik minat NNMTB bergabung dengan NNMB. Ini disebabkan oleh NNNB telah diserahkan kepada British pada tahun 1909 melalui Perjanjian Bangkok yang menyebabkan sultan-sultan di NNMTB tidak berminat untuk menyertai NNMB.
Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kuasa sultn-sultan di NNMB semakin berkurangan berbanding dengan sultan-sultan di NNMTB. Bagi menarik minat sultan NNMTB, pengagihan kuasa perlu dilakukan.

Tindakan-tindakan Lawrence Guillemard
Lawrence Guillemard telah dilantik sebagai gabenor Negeri-Negeri Selat mulai tahun 1920 hingga 1927. Beliau telah mengemukakan cadangan-cadangan tentang langkah-langkah untuk melaksanakan pengagihan kuasa yang sebenarnya.
Lawrence Guillemard bercadang membuat beberapa perubahan dan menyusun semula MMP bagi mengembalikan semula beberapa bidang kuasa kepada sultan dan MMN. Guillemard telah berusaha untuk melaksanakan dasar pengagihan kuasa ini iaitu mendapat sokongan raja-raja Melayu untuk mengukuhksn keduduksnnys di negeri-negeri Melayu dan langkah berjimat cermat dan memulihkan ekonomi disebabkan zaman kemelesetan dan Perang Dunia Pertama.
Lawrence Guiilemard telah mencadangkan beberapa perubahan dalam MMP. Perubahan-perubahan yang dilakukan ialah; menghapuskan jawatan ketua setiausaha kerajaan. Dengan cara ini barulah usaha-usaha untuk memindahkan kuasa kerjaan pusat kepada kerajaan negeri dapat dilaksanakan; Sultan NNMB akan menjadi raja berpelembagaan dan tidak akan menjadi ahli MMP kerana DURBAR akan dipulihkan; Sultan NNMB diundang menghadiri upacara pembukaan rasmi MMp setahun sekali; tempat sultan dalam MMP akan digantikan oleh tiga orang pegawai kanan British dan tiga orang Melayu daripada keturunan golongan bangsawan; MMP membuat undang-undang tetapi pengesahan rang undang-undang mesti ditandatangani oleh sultan; dan semua perkara mengenai pertahanan mesti mendapat keizinan MMN.

Cadangan Guillemard mendapat sokongan daripada sultan-sultan di NNMB kernana beberapa aspek cadangannya menunjukkan adanya unsur pengagihan kuasa dan pemulihan kedudukan raja-raja Melayu. Pesetujuan rasja-raja Melayu ditandatangani pada 24 April 1927.
Cadangan Guillemard ini telah dibantah oleh Ahli Tidak Rasmi Eropah dan orang Cina kerana bimbang kepentingan mereka akan terancam. Mereka bimbang MMN yang diketuai oleh Sultan tidak dapat menjalankan pentadbiran dengan licin dan cekap. Hal ini akan menjejaskan perniagaan mereka dan seterusnya merugikan pihak British sendiri.
Usaha mengagihkan kuasa pusat terhenti apabila Lawrence Guiilemard sebagai pesuruhjaya tinggi digantikan oleh Hugh Clifford. Hugh Cliford tidak yakin dengan dasar pengagihan kuasa. Beliau menganggap cara terbaik untuk memeliahara dan mengekalkan kepentingan orang Melayu ialah dengan cara mengekalkan kawalan kerajaan British.

Sebab-sebab pengagihan kuasa pusat pada tahun 1930-an
1. Dasar British untuk mewujudkan sebuah tanah Melayu
Sir Cecil Clementi telah dilantik menjadi persuruhjaya tinggi bagi menggantikan Sir Hugh Clifford pada tahun 1930. Belaiu berminat untuk menghidupkan semula dasar pengagihan kuasa yang dijalankan oleh Lawrence Guillemard.
Beliau bercita-cita untuk menyatukan semua NNM di bawah satu unit pentadbiran. Bagi tujuan itu, beliau mengemukakan semula isu pentadbiran. Bagi tujuan itu, beliau mengemukakan semula isu pengagihan kuasa untuk menarik minat NNMTB bergabung dengan NNMTB.
2. Kemelesetan ekonomi pada tahun 1930-an
Pada tahun 1930-an berlaku kemelesetan ekonomi dunia menyebabkan ekonomi Tanah Melayu terjejas dengan teruk kerana bergantung kepada bijih timah dan getah. Kerajaan Persekutuan terpaksa melaksanakan langkah-langkah berjimat cermat.
Untuk mengurangkan beban kewangan Kerajaan Persekutuan terhadap pentadbiran NNMB, beberapa jabatan kerajaan akan dipulangkan kepada kerajaan negeri. Secara automatik, segala kos pentadbiran jabatan-jabatan tersebut akan ditanggung oleh kerajaan negeri.
3.Cadangan Clementi hanya disokong oleh Sultan NNMB sahaja. Peniaga-peniaga Eropah dan Cina serta sultan-sultan NNMTB. Membantah cadangan tersebut. Pedagang Eropah dan Cina membantah kerana bimbang perubahan itu akan menjejaskan pelabuhan Singapura dan mengancam kepentingan mereka. Sultan NNMTB tidak bersetuju kerana mereka bimbang kuasa mereka akan diambil alih oleh persuruhjaya tinggi.
4. Cecil Clementi terpaksa menarik balik cadangan kerana bantahan-bantahan tersebut. Pada tahun 1932, Sir Samuel Wilson dihantar ke Tanah Melayu untuk mengkaji perlunya mengadakan cadangan pengagihan kuasa pusat dan meneliti semula cadangan-cadangan Cecil Clementi.
5. Sir Samuel Wilson bersetuju agar pengagihan kuasa dilaksanakan dan mencadangkan beberapa perubahan iaitu; memansuhkan jawatan Ketua Setiausaha dan digantikan dengan Setiausaha Persekutuan; beberapa jabatan Persekutuan disusun semula dan jabatan-jabatan yang tidak penting seperti jabatan Pertanian, Perubatan, Pelajaran, Perhutanan, Perhubungan dan Kerja Raya diserahkan kepada kerajaan Negeri; dan MNN diberi kuasa untuk menggubal undang-undang mengurus kewangan dan pentadbiran.


C. Kesimpulan (2m)
Rancangan pengagihan kuasa ini telah dijalankan secara berperingkat mulai tahun 1934. pengagihan kuasa ini dapat mengembalikan kuasa sultan dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Sultan-sultan dapat membincangkan kepentingan mereka dalam DURBAR. Proses pengagihan kuasa ini terhenti pada tahun 1941 apabila Jepun menyerang dan menawan tanah Melayu.

SOALAN 6
A. Pengenalan (3m)
Pendidikan Melayu secular telah diperkenalkan oleh British pada abad ke-19. Sebelum itu, pendidikan Melayu umumnya berbentuk agama. Murid-murid diajar mengaji dan membaca al-Quran serta cara-cara bersembahyang. Bahasa pengantarnya ialah Bahasa Arab dan guru-guru biasanya terdiri daripada imam-imam masjid. Bahasa Melayu tidak dititikberatkan. Hal ini adalah kerana ibu bapa mementingkan pendidikan agama Islam. Pada tahun 1821, sebuah Sekolah Melayu dibuka di Gelugor sebagai cawangan Penang Free School (sekolah aliran Inggeris) yang diasaskan oleh R.S. Hutchings pada tahun 1816.

B Isi [20 m]
Pertumbuhan Sekolah-sekolah Melayu
a. Negeri-negeri Selat
Akibat dari usaha mubaligh-mubaligh beberapa Sekolah Melayu telah dibuka di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Pada tahun 1855, sebuah Sekolah Melayu telah dibuka di Bayan Lepas (Pulau Pinang). Pada tahun 1856, 2 buah sekolah Melayu telah dibuka di Singapura, satu di Teluk Belanga dan satu lagi di Kampung Gelam. Di Melaka terdapat 9 buah Sekolah Melayu yang dibuka antara tahun-tahun 1858-63. Pada tahun 1871, A.M. Skinner, Pemangku Majistret di Butterworth telah menyusun semula sistem pendidikan Melayu di Province Wellesley. Beliau mencantumkan sistem persekolahan moden dengan sistem pelajaran Quran. Murid-murid mengikuti pelajaran sekular di sebelah pagi dan mereka mengaji Quran di sebelah petang. Gaji guru-guru yang mengajar pelajaran sekular dibayar oleh kerajaan manakala gaji guru-guru agama dibayar oleh ibu bapa dan murid-murid. Percubaan Skinner telah berjaya dan beliau dilantik sebagai Nazir sekolah-sekolah pada tahun 1872. Bilangan Sekolah Melayu di Negeri-negeri Selat telah meningkat daripada 16 buah pada tahun 1872 (jumlah murid 596 orang) kepada 189 buah pada tahun 1892 (jumlah murid 7218 orang). Pada tahun 1884, Kerajaan British telah membuka sekolah pertama untuk murid-murid perempuan di Teluk Belanga, Singapura. Pada tahun 1889 pula, sebuah lagi sekolah sedemikian telah dibuka di Pulau Pinang.

b. Negeri-negeri Melayu Bersekutu
Nazir Sekolah-sekolah Melayu bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu hanya dilantik pada tahun 1897. Bilangan Sekolah Melayu di negeri-negeri tersebut telah meningkat daripada 168 buah (157 bagi murid lelaki dan 11 bagi murid perempuan) pada tahun 1898 kepada 266 buah pada tahun 1907 (232 bagi murid lelaki dan 34 bagi murid perempuan).

c. Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu
Sekolah Melayu yang pertama di Kedah telah ditubuhkan pada kira-kira tahun 1897. Sekolah ini mula-mulanya dikhaskan untuk anak-anak lelaki orang-orang besar sahaja. Pada tahun 1910 telah ada 20 buah Sekolah Melayu di Kedah. Jawatan Nazir Pelajar diadakan pada tahun 1911. Kelantan mempunyai Sekolah Melayu yang pertama pada tahun 1903. Terengganu tidak mempunyai sebuah pun Sekolah Melayu sebelum tahun 1915 sedangkan Perlis telah mempunyai 5 buah pada tahun 1913. Sekolah-sekolah Melayu tumbuh dengan pesatnya di Johor yang berhampiran dengan Singapura. Pada tahun 1913, negeri Johor mempunyai 56 buah sekolah.

3. Tujuan pendidikan Melayu
Mengikut Dr. Awang Had Salleh, pendidikan sekular Melayu anjuran British mempunyai 4 tujuan besar iaitu:
a. Mengekalkan kestabilan politik dengan tidak memberi pelajaran yang berlebihan.
b. Mengekalkan status quo dengan memastikan orang Melayu tinggal terus di kampung-kampung sebagai penanam padi.
c. Menghasilkan pekerja-pekerja rendah seperti pemandu kereta lembu, penanam padi, nelayan, pekedai-pekedai kecil dan kerani-kerani rendah.
d. Menghapuskan buta huruf supaya orang Melayu tidak tertipu dalam masyarakat berbilang bangsa.
Pada hakikatnya, pendidikan bahasa Melayu sebelum tahun 1942 kurang memberi peluang kepada orang Melayu mencapai kemajuan dalam bidang sosial dan ekonomi. Pendidikan Melayu hanya bertujuan untuk memelihara cara hidup tradisional orang Melayu.

4. Sukatan pendidikan Melayu
Pada amnya, pendidikan Melayu hanyalah untuk empat tahun. Sekolah-sekolah Melayu yang lebih besar menyediakan pelajaran hingga ke darjah 6. Taraf pengajaran umumnya adalah rendah. Sebelum tahun 1917, pengajaran yang diberi di sekolah-sekolah Melayu ialah membaca, menulis, mengira dan ilmu alam serta karangan. Sejak tahun 1917 secara beransur-ansuran, tumpuan juga diberi kepada perkebunan dan pertukangan tangan. Bangunan dan alat kelengkapan sangatlah rendah mutunya berbanding dengan sekolah-sekolah bahasa Inggeris. Kebanyakan sekolah tidak mempunyai bilik darjah yang sesuai.

5. Perkembangan pendidikan Melayu
Perkembangan pendidikan Melayu (terutamanya bagi kanak-kanak perempuan) pada peringkat awal adalah lembap oleh sebab perkara berikut:
a. Ibu bapa cemburukan kehilangan tenaga kanak-kanak mereka yang diperlukan bagi kerja di rumah.
b. Mempunyai syak wasangka terhadap pendidikan sekular yang tidak menitikberatkan pengajaran Quran.
c. Lebih suka anak-anak perempuan duduk di rumah sehingga mereka dikahwinkan.
Mulai abad ke-20 pendidikan Melayu mula berkembang maju. Antara tahun-tahun 1900-23, Kerajaan British di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah meluluskan beberapa enakmen yang mewajibkan kanak-kanak lelaki Melayu yang berumur antara 7-14 tahun bersekolah sekurang-kurangnya selama setengah tahun jika mereka tinggal dalam lingkungan 2 batu dari sekolah. Enakmen-enakmen tersebut telah menggalakkan perkembangan pendidikan sekular Melayu di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Berbagai-bagai usaha diambil untuk memperbaiki nilai pendidikan Bahasa Melayu selepas perlantikan R.J. Wilkinson sebagai Nazir Sekolah-sekolah Persekutuan pada tahun 1903. Beliau telah memperkenalkan tulisan rumi yang sistematik serta menyusun kamus Melayu yang pertama. Wilkinson juga bertanggungjawab menerbitkan buku-buku klasik Melayu yang membangkitkan minat orang Melayu terhadap bahasa dan kesusasteraannya sendiri. Kerajaan British telah menubuhkan beberapa maktab latihan perguruan Melayu bagi meninggikan mutu pengajaran di sekolah-sekolah Melayu. Pada tahun 1878, Maktab Melayu Singapura telah ditubuhkan untuk melatih guru-guru. Maktab ini ditutup pada tahun 1895. Pada tahun 1900 sebuah maktab latihan perguruan dibuka di Melaka. Kemudian pada tahun 1913, sebuah lagi maktab perguruan dibina di Matang, Perak. Maktab Perguruan Melayu yang paling terkemuka ialah Maktab Perguruan Sultan Idris yang telah dibuka pada tahun 1922 di Tanjung Malim, Perak. Pada tahun 1924, sebuah Biro Terjemahan telah ditubuhkan di maktab ini untuk menterjemahkan buku-buku Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Pada tahun 1935, Maktab Perguruan Perempuan Melayu dibuka di Melaka. Pelajar-pelajar maktab ini diambil dari Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.


C. Kesimpulan (2m)
Sebagai kesimpulan kita dapati sistem pendidikan yang dijalankan di Tanah Melayu sebelum dan selepas kedatangan British lebih kepada kepentingan kaum. Bagi pendidikan sekolah Melayu hanya mengekalkan cara hidup orang Melayu di kampung-kampung. Perbezaannya dengan sistem pendidikan british pula lebih mementingkan peluang untuk mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan sosial semata-mata.

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah 2 (Nota Tema 1-Sejarah Asia Tenggara, Timur dan Selatan)

Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA STPM/S940 940/2 Kertas 2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan, dan AsiaTimur, 1800-1963 Bahagian B : Asia Tenggara, Asia Selatan, dan Asia Timur (Myanmar (Burma), Thailand, Laos, Kemboja (Kampuchea), Vietnam, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura,India, Pakistan, Sri Lanka, China, dan Jepun).

NEGARA PERSEKUTUAN

Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang berlandaskan perlembagaan bertulis sebagai undang-undang tertinggi. Ia mengamalkan sistem kerajaan persekutuan dan mengandungi 13 buah kerajaan negeri serta Wilayah Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan yang wujud pada hari ini adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan dipinda pada tahun 1963 untuk membolehkan penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perlembagaan ini mengandungi 181 Perkara yang dibahagikan kepada 14 bahagian. Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan seperti kebebasan asasi rakyat, kewarganegaraan, badan perundangan, dan kewangan.

AGAMA RASMI

Islam adalah agama rasmi Kerajaan Malaysia seperti yang telah tertakluk dibawah Perlembagaan Negara Malaysia .Perlembagaan mempunyai kedudukan istimewa. Ia merupakan satu-satunya institusi atau sumber perundangan yang tetap dan tertinggi. Pekara berkaitan agama didalam perlembagaan dinyatakan di bawah perkara berikut : Perkara 3 : • Ugama Islam ialah Ugama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. • Dalam tiap-tiap Negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja,kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diistiharkan oleh Pelembagaan Negeri itu, segala keistimewaan hak kedaulatan dan kuasa dinikmati olehnya sebagai Ketua Ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat tetapi tiadklah tersentuh atau tercatat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan,maka tipa-tiap orang R