Skip to main content

Komunikasi Masa

Pengenalan

Komunikasi massa merupakan perkara yang sangat penting di dalam perhubungan manusia. Komunikasi massa adalah satu proses penyebaran maklumat dan hiburan kepada manusia sejagat. Dalam proses penyampaian maklumat dan hiburan ini, komunikasi berlaku di antara pihak-pihak tertentu dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Proses penyaluran maklumat melalui komunikasi massa merupakan satu proses yang sangat kompleks di mana melibatkan peranan aktor seperti institusi media, pengamal media, pengiklan dan khalayak dari pelbagai latar belakang. Perantara media massa seperti buku, filem, televisyen, radio, surat khabar dan media atas talian membolehkan masyarakat memperolehi banyak maklumat tanpa mengira batas waktu dan ruang. Hal ini menyebabkan media massa berupaya mempengaruhi kehidupan manusia dewasa kini dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, dan sosial.

Dalam konteks komunikasi massa, peranan media massa sebagai saluran komunikasi adalah sangat penting. Proses penyaluran dan perkongsian maklumat dari sumber-sumber tertentu menerusi media massa kepada khalayak merupakan pokok persoalan yang terpenting dalam menjamin keberkesanan proses dan kesan komunikasi massa. Dalam masyarakat moden kini, evolusi komunikasi massa telah banyak memberi kesan kepada perhubungan antara individu (interpersonal) dan masyarakat keseluruhannya. Peri pentingnya komunikasi massa dalam kehidupan manusia disajikan dengan pelbagai bentuk hiburan dan maklumat yang terkini. Dominick (2002), menjelaskan bahawa komunikasi massa adalah proses mentransmisi mesej oleh sesebuah institusi yang kompleks kepada khalayak yang ramai dan heterogeneous dari pelbagai lokasi.

Justeru, di atas kepentingan komunikasi massa ini, fokus tugasan ini akan berkisar kepada fungsi dan kesannya dari perspektif isu-isu kontemporari akhbar-akhbar utama di negara kita. Dalam usaha meninjau isu-isu kontemporari ini, akhbar Utusan Malaysia (UM) dan New Straits Times (NST) akan dijadikan akhbar kajian bagi tujuh (7) berita utama dalam masa seminggu penerbitannya.

Media Massa

Dalam konteks komunikasi massa, media massa merupakan alat (tools) bagi menyalurkan pelbagai bentuk maklumat. Media massa disifatkan sebagai perantara mekanikal yang mengandungi, menyimpan dan mentransmisi mesej melalui institusi seperti media cetak dan media elektronik. Antara lain, media cetak mencakupi surat khabar, majalah, risalah, dan buku-buku manakala media elektronik pula meliputi radio, filem, rakaman, televisyen, dan komputer (internet).

Pada masa sekarang, globalisasi telah melatakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi. Dunia disifatkan tiada sempadan dan ruang lingkup langit sesebuah negara terbuka luas kepada sebarang bentuk maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media massa seperti internet, media elektronik dan teknologi siber. Kepelbagaian bentuk media massa lain seperti media cetak, media siaran dan teknologi komunikasi yang menggabungkan komputer dan televisyen turut menyumbang kepada perkembangan komunikasi massa. Perkembangan ini memungkinkan perkembangan perhubungan di antara manusia dan negara dapat dilakukan dalam tempoh masa yang singkat. Oleh yang demikian, media massa merupakan pengganda maklumat yang berpontensi menyalurkan banyak maklumat. Kemampuannya disifatkan sebagai jaringan maklumat yang canggih dan serba moden.
Fungsi Media Massa

Dalam proses pembangunan negara Malaysia yang kian pesat, keperluan masyarakat kita turut bertambah kompleks khususnya yang berkaitan dengan komunikasi massa. Setiap lapisan masyarakat perlu membentuk perhubungan dengan orang lain maka dengan ini keperluan komunikasi mereka juga turut meningkat. Fungsi media massa bagi masyarakat kita sangat sinonim dengan proses kemajuan negara. Keadaan ini memperlihatkan fungsi komunikasi massa disifatkan sebagai pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur adalah tepat. Keempat-empat fungsi media massa ini berupaya memenuhi pelbagai keperluan komunikasi massa masyarakat kita pada masa kini. Walau bagaimanapun, terdapat pandangan lain yang mengatakan di ‘peringkat makro’ iaitu pada tahap masyarakat keseluruhannya fungsi media massa mempunyai tujuan-tujuan berikut:

Rajah 1: Fungsi Utama Komunikasi Masa
Sumber : Modul OUM : Komunikasi Massa dan Teknologi Komunikasi (Bab 9)

Kupasan selanjutnya akan tertumpu kepada fungsi media massa yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Secara praktiknya, kesemua fungsi media massa yang akan dibincangkan adalah saling berkait rapat dengan kehidupan kita sehari-hari, di mana sebagai pengguna media kita tidak lepas daripada dipengaruhinya dan kita juga turut mempengaruhi media massa.

Pemerhati

Fungsi media massa sebagai ‘pemerhati’ dapat didefinisikan sebagai pemerhati yang mengawasi (surveillance) akan sebarang peristiwa yang berlaku di sekitar masyarakat. Terdapat dua jenis pemerhatian yang berkaitan, iaitu fungsi pengawasan memberi amaran (warning) dan pegawasan instrumental. Pengawasan berbentuk amaran digunakan untuk mengingatkan khalayak (masyarakat) akan sesuatu kejadian atau malapetaka yang bakal berlaku. Antara kejadian yang sebegini adalah seperti bencana alam iaitu banjir, gempa bumi, tsunami, pemanasan global, kemerosotan ekonomi, inflasi, kenaikan harga barang, peperangan dan wabak penyakit. Laporan yang berkaitan dikatakan sebagai berita dan maklumat yang sangat penting.

Peringatan berbentuk amaran (warning) ini akan memberi ruang agar masyarakat besiap sedia menghadapi situasi ini jika berlaku. Dalam kes ini, media massa seperti televisyen, radio dan surat khabar akan menyalurkan berita untuk tatapan umum. Dengan ini, masyarakat akan bersedia bagi menghadapi setiap kemungkinan yang akan berlaku.

Pengawasan berbentuk instrumental pula lebih membantu masyarakat memperolehi maklumat seperti bursa saham, produk baru, fesyen, resepi dan sebagainya. Peranan ini tidak bersifat amaran (not warning) sebaliknya berita-berita yang berinformasi melalui penerbitan untuk menyalurkan maklumat di samping menghiburkan. Fungsi ini boleh dimainkan oleh media massa seperti majalah. Rajah 2 di bawah memaparkan fungsi pengawasan media massa dalam konteks pemerhati yang bersifat amaran dan instrumental.

Rajah 2 : Pengawasan Media Massa
Sumber : Modul OUM : Komunikasi Massa dan Teknologi Komunikasi (Bab 9)


Pentafsir

Fungsi media massa sebagai ‘pentafsir’ pula dapat didefinisikan sebagai menginterpretasi maklumat berdasarkan fakta dan data tertentu berkenaan dengan peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Keadaan menginterpretasi maklumat berlaku apabila matlamat, maksud dan kesignifikan sesuatu peristiwa ditafsir dalam bentuk rencana, forum, analisis peristiwa dan penyuntingan dilakukan menurut kepentingan dan keutamaannya.

Dalam konteks isu semasa seperti kegawatan ekonomi negara baru-baru ini, pentafsiran fakta dan data yang berkaitan sewajarnya diselami oleh masyarakat dengan baik. Pelbagai istilah teknikal yang berkaitan seperti pedagang mata wang pesisir, kejatuhan ringgit dan spekulator mata wang perlu dihuraikan melalui forum, kritikan, artikel dan sebagainya bagi membolehkan masyarakat mengetahui isu-isu tersebut dengan baik. Sebagai contoh, forum perbincangan ekonomi sebuah syarikat penyiaran tempatan, TV3 melalui program ‘The Exchange’ misalnya, dapat memaparkan interpretasi, komen dan pendapat mengenai sesuatu pemberitaan ekonomi supaya pembaca dapat memperolehi perspektif mendalam mengenai isu terbabit.

Fungsi ‘pentafsir’ ini dapat dilihat dalam rencana yang menganalisis isu-isu semasa supaya khalayak dapat memperolehi berbagai pandangan yang boleh dinilai sendiri oleh mereka secara logik dan bernas.

Penghubung

Selain itu, fungsi media massa sebagai ‘penghubung’ (linkage) bertujuan menghubungkan masyarakat sama ada individu dengan individu, masyarakat dengan masyarakat, peristiwa dengan masyarakat, persekitaran dengan masyarakat, mahupun sejarah silam dan budaya dengan masyarakat semasa. Misalnya, dalam isu pengiklanan media massa cuba menggabungkan keperluan pengguna (pembeli) dengan produk. Berkaitan dengan pilihanraya, para pengundi akan mengumpul maklumat berkenaan dengan wakil rakyat mereka melalui surat khabar, televisyen, radio, dan laman web. Melalui contoh-contoh di atas, jelas memperlihatkan fungsi menyamaikan mesej kepada khalayak merupakan peranan penting yang dilakukan oleh media massa.

Dalam konteks masa kini, peranan pelbagai media massa seperti internet dengan laman web tertentu berupaya menghubungkan antara dua atau ramai individu atau membentuk komuniti maya. Kemudahan yang disediakan seperti laman web ini dapat menghubungkan pelbagai komuniti untuk berkongsi pendapat dan pengalaman hidup mereka dengan orang lain yang setara permasalahannya.

Dari sudut sosialisasi dan nilai moral, fungsi media massa sebagai ‘penghubung’ merujuk kepada jalinan hubungan antara ahli masyarakat. Misalnya, Program Jejak Kasih (TV3), Tukar Suka-Sama-Suka, Dari Hati Ke Hati (Radio RIMA), dan Pilihan Bersama (FM Stereo) dapat menjalinkan hubungan antara masyarakat yang berlainan latar belakang, agama, bangsa dan budaya. Keadaan ini dapat merapatkan perpaduan kaum di negara ini dalam jangka masa yang panjang.

Penghibur

Manakala, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ adalah untuk menghibur (entertainment). Pada hemat saya, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ adalah lebih dominan tugasnya berbanding dengan fungsi lainnya di samping menjadi ‘trendy’ bagi kebanyakan media massa di Malaysia. Konsep penghibur disalurkan oleh media massa sebagai pelengkap kepada persoalan-persoalan lain untuk menarik minat terus para khalayak.

Jika diteliti secara khusus, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ ini banyak menyajikan aspek kehidupan yang berkaitan dengan hiburan. Misalnya, pelancaran album baru, fesyen terkini, konsert artis popular, filem terbaik dan sebagainya. Di samping itu, diketengahkan juga acara anugerah dan tamasya di peringkat antarabangsa seperti ‘The Academy Awards’ bagi memaparkan isu hiburan seluruh dunia.

Pakej untuk memberi hiburan kepada audien jelas merupakan intipati utama kebanyakan media massa bercorak ini. Hiburan yang disalurkan dan dipaparkan oleh pihak media dimanfaatkan sepenuhnya oleh khalayak bagi memecahkan kesunyian, menghidupkan suasana harmoni, ceria dan sebagainya. Daripada huraian di atas, jelaslah fungsi pemerhati dan pentafsir banyak digunakan atau lebih dominan fungsinya dalam laporan surat khabar Utusan Malaysia dan New Straits Times yang dikaji.

Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa fungsi media massa di negara ini adalah bersifat pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur ada mempunyai kebenarannya. Peranan media massa ini secara langsung banyak mempengaruhi cara hidup masyarakat kita sehari-hari. Bagi menentukan fungsional dan dysfungsional media massa yang berkaitan dengan pengaruh baik dan buruk media massa, masyarakat kita perlu bijak dan rasional bagi menapis segala isi kandungannya. Secara jelasnya, alaf baru kini memperlihatkan kesan media massa yang serius dalam masyarakat kita di Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah 2 (Nota Tema 1-Sejarah Asia Tenggara, Timur dan Selatan)

Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA STPM/S940 940/2 Kertas 2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan, dan AsiaTimur, 1800-1963 Bahagian B : Asia Tenggara, Asia Selatan, dan Asia Timur (Myanmar (Burma), Thailand, Laos, Kemboja (Kampuchea), Vietnam, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura,India, Pakistan, Sri Lanka, China, dan Jepun).

NEGARA PERSEKUTUAN

Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang berlandaskan perlembagaan bertulis sebagai undang-undang tertinggi. Ia mengamalkan sistem kerajaan persekutuan dan mengandungi 13 buah kerajaan negeri serta Wilayah Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan yang wujud pada hari ini adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan dipinda pada tahun 1963 untuk membolehkan penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perlembagaan ini mengandungi 181 Perkara yang dibahagikan kepada 14 bahagian. Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan seperti kebebasan asasi rakyat, kewarganegaraan, badan perundangan, dan kewangan.

AGAMA RASMI

Islam adalah agama rasmi Kerajaan Malaysia seperti yang telah tertakluk dibawah Perlembagaan Negara Malaysia .Perlembagaan mempunyai kedudukan istimewa. Ia merupakan satu-satunya institusi atau sumber perundangan yang tetap dan tertinggi. Pekara berkaitan agama didalam perlembagaan dinyatakan di bawah perkara berikut : Perkara 3 : • Ugama Islam ialah Ugama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. • Dalam tiap-tiap Negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja,kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diistiharkan oleh Pelembagaan Negeri itu, segala keistimewaan hak kedaulatan dan kuasa dinikmati olehnya sebagai Ketua Ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat tetapi tiadklah tersentuh atau tercatat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan,maka tipa-tiap orang R