Skip to main content

PENDIDIKAN MORAL DI SEKOLAH MEMBANTU MENGURANGKAN GEJALA SOSIAL DI KALANGAN REMAJA.

PENDIDIKAN MORAL DI SEKOLAH MEMBANTU MENGURANGKAN GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA.

“ Remaja hendaklah menyediakan diri ke arah mencapai Wawasan 2020 dengan
menjauhkan diri daripada diresapi budaya dan nilai hidup kebaratan yang tidak
sesuai dengan kemajuan negara”
Tun Dr. Mahathir Mohamad
Bekas Perdana Menteri Malaysia
(Dipetik daripada ‘Meneroka Alam Remaja’, Oleh : Khadijah Haidi Khalid)

Pengenalan
Konsep pendidikan di Malaysia bersifat bersepadu di dalam membentuk insan atau individu yang kamil dan seimbang. Dalam hal ini, mata pelajaran Pendidikan Moral yang diajar di sekolah, bermula dari sekolah rendah hingga peringkat menengah dilihat mampu membantu mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja, yakni pelajar sekolah. Dalam konteks ini, ilmu dan pendidikan perlu dilihat secara bersepadu untuk menjauhi implikasi kurang sihat di kalangan remaja. Ia turut merupakan panduan antara latihan akliah, jasmani dan rohani dengan matlamat untuk mewujudkan manusia berkebudayaan tinggi, bertanggungjawab dapat dipikul dan sebagai warganegara yang berguna. Melalui pendekatan begini, implikasi-implikasi gejala sosial dapat dihindari atau diminimakan pada kadar yang rendah.

Rasional Mata Pelajaran Pendidikan Moral Di Sekolah
Pendidikan Moral ialah satu subjek yang mendidik pelajar supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah laku moral. Pendidikan yang terkini, relevan dan unggul adalah amat perlu bagi melahirkan generasi yang cemerlang. Keadaan ini juga selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bagi menyediakan golongan pelajar atau remaja yang mampu menghadapi cabaran masa depan, perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta ekonomi berasaskan pengetahuan (K-Economy) pada abad ke-21.
Selain itu, pemupukan kekuatan kerohanian dan kemoralan pelajar melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama tradisi dan adat resam pelbagai kaum di negara ini. Justeru, pelajar dapat membina satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral.

Kandungan Sukatan Pendidikan Moral
Kandungan Sukatan Pendidikan Moral di sekolah bersifat menyeluruh dan bersepadu. Penekanan pada aspek kognitif, afektif dan psikomotor serta menyerapkan unsur bernilai tambah alaf baru seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kristis (KBKK), kemahiran belajar seumur hidup, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teori pelbagai kecerdasan dan pendekatan kajian masa depan. Di samping itu, penerapan nilai murni dan semangat patriotik turut diutamakan agar dapat diaplikasikan oleh golongan pelajar dalam kehidupan harian dan dunia pekerjaan mereka kelak.
Beberapa prinsip utama telah dikenal pasti sebagai panduan dalam melahirkan insan yang menyeluruh dari segi jasmani, intelek, emosi, rohani dan sosial.
Prinsip-prinsip itu ialah:
• Bertanggungjawab pada diri, keluarga dan orang lain;
• Berpegang teguh kepada ajaran agama;
• Prihatin kepada alam sekitar;
• Mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup;
• Bersemangat patriotik;
• Mengamalkan prinsip demokrasi dalam kehidupan.
Pemilihan prinsip-prinsip di atas adalah selaras dengan matlamat dan hasrat yang terkandug dalam Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Untuk membolehkan golongan pelajar memahami dan menghayati serta mengamalkan prinsip-prinsip tersebut, terdapat tujuh (7) bidang pembelajaran yang dikenal pasti dan nilai-nilai moral disampaikan menerusi bidang pembelajaran tersebut. Justeru, pengajaran nilai-nilai Pendidikan Moral di sekolah diyakini dapat mewujudkan perwatakan remaja yang baik sekaligus mengurangkan gejala sosial di kalangan mereka.

Pendidikan Moral Dan Masalah Sosial Remaja
Siapa remaja itu? Remaja ialah generasi yang mulai dewasa, sudah akil baligh, aset negara, dan pewaris tonggak kepimpinan negara. Sejak akhir-akhir ini, pelbagai isu remaja dipaparkan. Kehidupan remaja yang penuh pancaroba itu dilihat sebagai landasan kukuh mereka terbabit dengan gejala sosial. Dalam usaha menyesuaikan diri agar diterima oleh masyarakat, agak malang ada remaja terbabit dengan kes salah laku. Remaja terdorong berperangai kurang sopan, bertindak di luar batas moral kemanusiaan, undang-undang dan nilai keagamaan. Peningkatan kes salah laku remaja kian bertambah. Sejauh manakah mata pelajaran Pendidikan Moral di sekolah mampu mengubah corak pemikiran dan tingkah laku remaja di negara ini? Natijahnya, adalah lebih praktikal jika dalam usaha menangani masalah ini, dikaji dahulu sebab-musabab masalah ini yang melibatkan 60 peratus penduduk Malaysia ini.

1. Nilai Berkaitan Dengan Perkembangan Diri
Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah telah menggariskan sifat kendiri remaja beretika, iaitu:
“mempunyai matlamat hidup dan berkeyakinan, tidak merendah kebolehan diri,
perlu berfikiran positif, dan bersikap terbuka”

Dalam memupuk perkembangan diri remaja yang positif, mereka perlu sedar akan tanggungjawab sendiri. Remaja tidak harus mengikut telunjuk nafsu. Mereka harus sentiasa menyediakan diri supaya diterima oleh kelompok masyarakat di negara ini. Bertepatan dengan kandungan atau prinsip-prinsip Rukun Negara, golongan remaja perlu menanam nilai-nilai seperti kepercayaan kepada Tuhan. Mereka perlu meyakini wujudnya Tuhan yang telah mencipta alam ini sekaligus bertindak menjadi pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan menjaga dan melindungi alam dan penghuninya. Sikap sentiasa mensyukuri pemberian kurniaan Tuhan perlu ada dalam diri mereka. Kecermelangan remaja dalam pelbagai lapangan banyak dipengaruhi nilai harga diri mereka. Penentuan matlamat hidup yang sempurna perlu didorong sikap bertanggungjawab dalam memikul dan melaksanakan tugas serta kewajipan dengan baik. Sebagai contoh, pengurusan masa secara bijaksana dan berkesan amat perlu dalam meningkatkan daya produktiviti diri sendiri.
Amalan beradap sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan adalah ciri nilai hemah tinggi. Golongan remaja diingatkan supaya sentiasa berlaku sopan dan ramah mesra dalam pelbagai situasi supaya sentiasa disenangi oleh anggota masyarakat. Selaras dengan kempen, “Budi Bahasa, Budaya Kita”, yang diwahanakan oleh kerajaan kini adalah bertujuan memupuk amalan berhemah tinggi di kalangan masyarakat Malaysia, khususnya golongan remaja. Di samping itu, nilai toleransi remaja juga disemai supaya dapat mengawal diri daripada perselisihan faham demi perpaduan masyarakat. Perpaduan di kalangan masyarakat kita amat penting kerana negara Malaysia terdiri daripada pelbagai suku kaum. Perpaduan Nasional adalah asas keutuhan dan kestabilan negara. Dalam hal ini, konsep masyarakat penyayang perlu mendasari jiwa masyarakat untuk hormat-menghormati dan saling menyayangi. Remaja harus dilibatkan dalam program kemasyarakatan. Mereka akan terasa dihargai, kepincangan personaliti remaja dapat dihindari, maka masyarakat kian utuh.
Golongan renaja juga dipupuk dengan amalan berdikari supaya dapat menjadi pemangkin pembangunan negara Malaysia. Remaja yang berilmu dan berdaya tahan adalah aset kemajuan negara kita. Gaya hidup dan moto “Yakin Boleh” amat berkesan membentuk remaja berketrampilan dan mempunyai ketahanan fizikal dan mental boleh mengelakkan mereka terjerumus ke kancah tidak sihat. Selaras dengan matlamat Wawasan 2020, status negara sebagai negara maju dapat dijana melalui perubahan bidang pendidikan. Melalui pendidikan kita berharap agar dapat melahirkan masyarakat yang berilmu. Kejayaan rakyat Malaysia yang ditonjolkan melalui pencapaian ilmu dan kesungguhan terbukti dapat menyuntik semangat golongan remaja untuk terus berjaya. Sebagai contoh, rakyat Malaysia telah berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest, pelancaran Satelit Malaysia Asia Timur (MEASAT 1) pada 13 Januari, 1996 membuktikan kemampuan rakyat Malaysia dalam bidang telekomunikasi dan teknologi angkasa lepas hasil daripada kemajuan serta kerajinan rakyatnya.
Selain itu, golongan remaja telah diterapkan dengan nilai kasih sayang. Remaja yang sentiasa menyayangi diri dan orang lain sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat. Mengamalkan nilai kasih sayang yang luhur dan bijaksana perlu untuk kesejahteraan hidup masyarakat. Justeru, remaja telah didedahkan betapa pentingnya ilmu dan dalam masa yang sama tidak memudaratkan alam dan manusia supaya bumi sentiasa dalam keadaan selamat dihuni. Dalam membuat keputusan dan tindakan, golongan remaja perlu adil dan saksama. Pengetahuan berkenaan dengan keadilan adalah amat penting dalam mewujudkan kesejahteraan masyarakat yang aman dan harmoni. Dalam hal ini, golongan remaja didedahkan dengan organisasi yang membantu dalam menegakkan keadilan seperti Mahkamah dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Penghayatan dan keperluan menjelaskan kepentingan menegakkan keadilan di Malaysia adalah penting supaya golongan remaja kita sentiasa peka dan berwaspada dalam mengambil tindakan dan keputusan.
Kajian ahli psikologi mendapati bahawa golongan remaja lebih cenderung dipengaruhi rakan sebaya dan persekitaran berbanding dengan ibu bapa mereka sendiri. Masalah kelemahan dan keruntuhan moral di kalangan remaja adalah berpunca daripada pengaruh yang terdapat di sekitar kehidupan mereka. Natijahnya, amat penting mereka mempunyai asas pengetahuan dan pemikiran yang rasional dalam membuat pilihan atau tindakan supaya tidak didorong oleh perasaan dan darah muda. Nilai kesederhanaan yang tidak keterlaluan dalam perlakuan dan bertindak tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain amat penting sebagai seorang remaja.

2. Nilai Berkaitan Dengan Kekeluargaan
Menurut J. F. Watson, kelalaian ibu bapa, merupakan faktor golongan remaja bertindak liar. Hakikatnya, punca-punca remaja terbabit dalam salah laku ialah kelemahan institusi keluarga. Ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna. Jadi, ibu bapa janganlah terlalu memanjakan anak-anak dan juga tidak terlampau berkeras. Sebaliknya, dalam membimbing remaja, ibu bapa harus memahami perasaan mereka dan berfikiran terbuka. Jadilah model terbaik, sekaligus sebagai perangsang.
Menyoroti kepentingan mata pelajaran Pendidikan Moral, pemupukan budaya penyayang pegangan hidup bekeluarga adalah landasan untuk melahirkan perasaan cinta, kasih sayang yang mendalam dan berkekalan terhadap keluarga. Pembentukan masyarakat penyayang ialah ahli masyarakat yang hidup bermufakat dan bertimbang rasa. Sesungguhnya individu yang saling menjalin kemesraan sesama anggota keluarga dan berusaha untuk mengekalkannya.
Nilai hormat dan taat kepada anggota keluarga amat penting dalam memuliakan setiap anggota keluarga. Kefahaman tentang cara hidup bekeluarga, pegangan agama yang kuat, nilai tradisi yang utuh mampu mengimbangi kehidupan yang harmonis. Setiap ahli dalam keluarga digalakkan memahami dan bertanggungjawab terhadap peranan masing-masing berhubung dengan kefahaman mendalam serta mengamalkan budaya tradisi mereka dalam kehidupan sehari-hari selaras dengan nilai mengekalkan tradisi kekeluargaan. Remaja yang baik harus sedar akan tanggunjawab mereka terhadap keluarga. Kewajipan seseorang anak diterapkan melalui tanggunjawab untuk melahirkan keluuarga yang bahagia, meningkat imej dan menjaga maruah keluarga. Sebagai contoh, Kempen, “Rumahku, Syurgaku” diharap mampu memartabatkan institusi keluarga di negara ini. Golongan remaja merupakan komponen utama menjayakan usaha ini.

3. Nilai Berkaitan Dengan Alam Sekitar
Tuhan telah menganugerahkan alam ini begitu indah sekali. Oleh itu, Tuhan juga telah mencipta manusia untuk menjaga alam dan penghuninya dengan baik agar tidak berlaku sebarang kerosakan di muka bumi ini. Tetapi, yang berlaku pada hari ini, ibarat kata pepatah “harapkan pagar, pagar makan padi”. Harapkan manusia tetapi manusialah punca segala kerosakan ini. Banyak fenomena alam yang tercemar dan musnah seperti penerokaan hutan tidak terkawal, jerebu, tanah runtuh, banjir lumpur, kepupusan spesis flora dan fauna secara tidak terkawal di negara ini. Lantaran itu, kesan seperti “Rumah Hijau” telah menaikkan suhu bumi sekaligus memberi impak kepada semua benda hidup.
Justeru, nilai berkaitan dengan alam sekitar perlu didedahkan kepada golongan remaja. Kesedaran tentang perlunya memelihara dan memulihara alam sekeliling untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem. Proses penjagaan alam sekitar perlu konsisten dan sistematik supaya keharmonian antara manusia dan alam sekitar dapat dipelihara untuk menjamin keselesaan hidup yang berterusan. Kesedaran yang optimum di kalangan remaja melalui program seperti “Kitar Semua” dan “Fikir Dahulu Sebelum Buang”, yang dilancarkan oleh kerajaan bagi memastikan pengurusan alam yang mapan dan berhikmah demi kepentingan manusia sejagat. Selain itu, mereka diseru supaya prihatin dan peka terhadap isu-isu alam sekitar seperti tanggungjawab memelihara dan memulihara alam sekitar di samping mengetahui peranan badan yang menjaga kualiti alam sekitar, yakni Jabatan Alam Sekitar (JAS), Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti World Wildlife Fund (WWF) dan Green Peace. Adalah menjadi harapan dan impian Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral di sekolah agar mampu melahirkan golongan remaja yang proaktif dalam mengekalkan bumi terus “Hijau” dan sejahtera selama-lamanya.

4. Nilai Berkaitan Dengan Patriotisme
Semangat patriotik patut ditanam dalam jiwa setiap remaja di negara ini. Tarikh 31 Ogos, 1957 sudah signifikan dengan cetusan dan laungan semangat rakyat Malaysia dalam menyambut Hari Kemerdekaan. Sejauh manakah golongan remaja kita hilang atau kurang semangat patriotik? Justeru, aspek-aspek nilai dan sikap patriotisme patut ditanam dalam jiwa remaja di negara ini. Keyakinan bahawa mata pelajaran Pendidikan Moral, Agama Islam dan Sejarah mampu menerapkan nilai semangat cinta akan negara.
Semangat cinta akan negara yang diterapkan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral adalah bertepatan selaras dengan usaha mewujudkan perasaan sayang dan bangga akan negara serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri. Jiwa remaja harus disemai dengan sikap kebanggaan dan kemampuan negara mengatasi krisis kewangan 1997 di mana pucuk pimpinan negara kita menolak bantuan yang dihulurkan oleh Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF). Dari perspektif ekonomi, kita berpegang kuat kepada kemampuan negara dan tidak berharap kepada bantuan luar. Slogan, “Malaysia Boleh” menambahkan samarak dan semangat cinta akan tanah air.
Sejarah ketokohan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan negara seperti Dato’ Onn bin Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Rosli Dhobi banyak mengilhamkan taat setia kepada Raja dan Negara. Sikap sanggup berkorban untuk negara dilihat mampu mencetuskan kesanggupan rakyat berkorban dan berbakti kepada negara baik dari segi nyawa dan harta benda. Slogan, “Keranamu Malaysia”, mampu menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia, khususnya dalam menangani arus globalisasi, bersatu untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.

5. Nilai Berkaitan Dengan Hak Asasi Manusia
Melahirkan golongan remaja yang berketrampilan memerlukan usaha yang banyak. Golongan remaja yang berpendidikan tidak harus mengenepikan kualiti manusia yang unggul dari segi kesedaran moral dan tanggungjawab sosial kepada orang lain. Nilai melindungi hak kanak-kanak perlu diterapkan supaya golongan ini mendapat layanan dan pengiktirafan setimpal dengan bakat dan pencapaian mereka.
Di samping itu, kesedaran melindungi dan mengiktiraf wanita sebagai individu yang boleh memberi sumbangan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara selaras dengan nilai menghormati hak wanita. Golongan remaja di peringkat sekolah perlu didedahkan dengan Dasar Wanita Negara (DWN) yang menjamin kebajikan dan kepentingan wanita di Malaysia. Usaha untuk memartabatkan wanita harus difahami dan disokong oleh semua lapisan masyarakat.
Cabaran ke-7 Wawasan 2020, menekankan betapa pentingnya mewujudkan masyarakat penyayang. Masyarakat penyayang akan hidup bermuafakat dan setiap orang saling faham memahami dan hormat-menghormati. Individu masyarakat penyayang tidak hanya mementingkan diri sahaja dan mereka tidak akan melakukan sesuatu bencana kepada mereka di sekeliling. Sifat-sifat seperti ini diperlukan dalam membentuk pembangunan seimbang.
Melindungi Hak Pekerja ke arah melahirkan pekerja berkualiti teras kejayaan negara amat penting. Penekanan kepada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pekerja tanggungjawab bersama adalah penting selaras dengan konsep “pekerja” sebagai agen perubahan dan aset negara yang membangun. Golongan remaja perlu diterapkan dengan budaya kerja cemerlang. Dalam era negara Malaysia sedang membangun, kedudukan golongan kurang upaya tidak harus disisihkan. Selaras dengan konsep hak asasi manusia, layanan yang bersopan perlu diberikan kepada mereka. Kecacatan tidak menghalang seseorang individu untuk berjaya dalam Sistem Demokrasi Berpelembagaan. Pengiktirafan sumbangan dan hak golongan kurang upaya perlu ditonjolkan supaya generasi muda, khususnya golongan remaja memahami keperluan dan tanggungjawab sosial mereka.
Sebagai individu yang bergelar pengguna, hak dan kepentingan pengguna harus dipelihara. Penerapan ciri-ciri kepenggunaan yang bijak dan berilmu amat perlu bagi melahirkan golongan remaja sebagai pengguna yang bijak berbelanja. Mengetahui tanggungjawab pengguna dengan baik seperti kesedaran mengkritik; tanggungjawab alam semulajadi; pengelibatan dan tindakan; bersatu padu serta tanggungjawab sosial mampu melahirkan seorang pengguna yang bijak di masa hadapan.

6. Nilai Berkaitan Dengan Demokrasi
Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral turut menggariskan supaya golongan remaja mengetahui hak dalam Sistem Demokrasi Berpelembagaan di Malaysia. Tanggungjawab mematuhi peraturan dan undang-undang amat penting bagi menjamin kestabilan negara. Tanggungjawab rakyat di negara ini mematuhi undang-undang tidak berkecuali. Selaras dengan usaha memartabatkan Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara, golongan remaja perlu mengetahui dan memahami beberapa Akta, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960) - (ISA); Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Juvana (1947) dan Akta Cukai Pendapatan.
Nilai kebebasan bersuara yang beretika selaras dengan kebebasan bersuara dengan batasan menjamin ketenteraman bersama. Golongan remaja dididik peraturan berucap yang beradab, tidak menyentuh isu sensitif dan tidak menimbulkan keadaan huru-hara. Konsep kebebasan beragama di Malaysia ditekankan sesuai dengan masyarakat majmuk di negara ini. Kesedaran perlunya rasa hormat-menghormati antara agama dan hak setiap penganut agama amat penting. Setiap individu digalakkan memberi khidmat sosial ke arah pembangunan negara demi kebaikan berasama. Sebagai contoh, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diwahanakan oleh kerajaan sekarang adalah satu bentuk latihan ke arah pengelibatan diri dalam pembangunan negara. Bagi melahirkan rakyat Malaysia yang unggul, sikap keterbukaan perlu ada supaya hubungan yang harmonis dapat dibentuk bermula di bangku sekolah lagi.

7. Nilai Berkaitan Dengan Keamanan Dan Keharmonian
Cita-cita Wawasan 2020, untuk membina negara Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian yang maju dengan taraf ekonomi yang mapan. Aspek kefahaman negara maju adalah perkembangan dari segi ekonomi, maruah dan martabat suatu bangsa yang dihormati. Oleh hal yang demikian, setiap golongan remaja perlu ditanam dengan nilai hidup bersama secara aman bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu. Apa gunanya kekayaan dan kemajuan sekiranya masyarakat berpecah belah!
Usaha untuk membina masyarakat yang saling membantu dan bekerjasama amat penting dalam memajukan negara ini. Sebagai rakyat, kita perlu menyahut cabaran dan sanggup menjayakan Wawasan 2020 demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Di peringkat antarabangsa, hubungan yang baik dengan negara lain amat dititikberatkan. Selaras dengan Dasar Luar Malaysia yang ingin berbaik-baik dan bekerjasama dengan semua negara di dunia, maka nilai saling menghormati antara negara wajar diamalkan. Setiap golongan remaja yang bakal menjadi pemimpin negara patut menghargai dan memuliakan hubungan antara negara untuk menjamin kesejahteraan sejagat. Natijahnya, Dasar Bekecuali Malaysia mampu mengekalkan hubungan baik Malaysia dengan negara lain di samping dapat mengelakkan pengelibatan Malaysia dalam pertelingkahan antara kuasa besar di dunia.

Penilaian / Pentaksiran Pendidikan Moral
Selaras dengan kepentingan mata pelajaran Pendidikan Moral sebagai subjek teras di sekolah yang mampu menjana dan membantu melahirkan golongan remaja yang berdisiplin, elemen sahsiah dan Iitizam diambil kira dalam pengukuran pencapaian Kerja Kursus (Peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mata pelajaran Pendidikan Moral di peringkat sekolah menengah.
Penilaian bentuk Kerja Kursus menjurus ke arah pemupukan, penghayatan dan amalan nilai moral oleh pelajar di samping pengetahuan, kefahaman dan kemahiran yang diperoleh melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Rasional penilaian yang bersifat fomatif ini memberi pemupukan kepada calon, khususnya golongan remaja ke arah keperibadian berakhlak mulia di samping memberi peluang kepada mereka menunjukkan ketrampilan dan kemajuan sendiri.
Setiap pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil mata pelajaran dikehendaki melaksanakan Kerja Kursus sebagai keperluan Pensijilan mereka bermula dari Tingkatan 4 hingga tamat Tingkatan 5. Sebagai pengesahan melaksanakan Kerja Kursus yang ditetapkan ianya perlu disahkan oleh pihak pentadbir sekolah dan keputusannya dilaporkan kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) melalui Jabatan Pelajaran Negeri.
Dalam konteks ini, mata pelajaran Pendidikan Moral suatu mata pelajaran yang amat penting setanding dengan subjek lain di dalam arus pendidikan masa kini. Justeru, Pendidikan Moral dilihat mampu mendidik dan mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja di negara ini.

Penutup
Kesimpulannya, pendekatan bersepadu dengan mengaplikasikan pendekatan pengajaran moral seperti pendekatan Pemupukan Nilai, Bertimbang Rasa, Analisis Nilai, Penjelasan Nilai, Perkembangan Kognitif dan Tindakan Sosial mampu memberi peluang kepada golongan remaja untuk menguasai Kemahiran Penyelesaian Konflik, Pemikiran Kritikal Dan Kreatif (KBKK), Kemahiran Menentang Tekanan Daripada Rakan Sebaya, Kemahiran Mengkaji Masa Depan, Kemahiran Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) dan Kemahiran Sosial.
Keadaan ini dapat melatih golongan remaja menghadapi cabaran alaf baru dunia ledakan maklumat dengan penuh yakin serta berdaya tahan. Natijahnya, pengajaran mata pelajaran Pendidikan Moral di sekolah mampu membantu mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja kita.

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah 2 (Nota Tema 1-Sejarah Asia Tenggara, Timur dan Selatan)

Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA STPM/S940 940/2 Kertas 2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan, dan AsiaTimur, 1800-1963 Bahagian B : Asia Tenggara, Asia Selatan, dan Asia Timur (Myanmar (Burma), Thailand, Laos, Kemboja (Kampuchea), Vietnam, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura,India, Pakistan, Sri Lanka, China, dan Jepun).

NEGARA PERSEKUTUAN

Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang berlandaskan perlembagaan bertulis sebagai undang-undang tertinggi. Ia mengamalkan sistem kerajaan persekutuan dan mengandungi 13 buah kerajaan negeri serta Wilayah Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan yang wujud pada hari ini adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan dipinda pada tahun 1963 untuk membolehkan penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perlembagaan ini mengandungi 181 Perkara yang dibahagikan kepada 14 bahagian. Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan seperti kebebasan asasi rakyat, kewarganegaraan, badan perundangan, dan kewangan.

AGAMA RASMI

Islam adalah agama rasmi Kerajaan Malaysia seperti yang telah tertakluk dibawah Perlembagaan Negara Malaysia .Perlembagaan mempunyai kedudukan istimewa. Ia merupakan satu-satunya institusi atau sumber perundangan yang tetap dan tertinggi. Pekara berkaitan agama didalam perlembagaan dinyatakan di bawah perkara berikut : Perkara 3 : • Ugama Islam ialah Ugama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. • Dalam tiap-tiap Negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja,kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diistiharkan oleh Pelembagaan Negeri itu, segala keistimewaan hak kedaulatan dan kuasa dinikmati olehnya sebagai Ketua Ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat tetapi tiadklah tersentuh atau tercatat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan,maka tipa-tiap orang R