Skip to main content

Teori Pembelajaran

PENGENALAN

Pendidikan ialah satu institusi sosial yang sudah wujud sejak tamadun awal manusia lagi dan berfungsi untuk mewariskan budaya, tradisi, ilmu, pemikiran dan kemahiran hidup manusia. Senario pendidikan kini amat mencabar dan terus berkembang dalam konteks masyarakat global. Cabaran Perlaksanaan Wawasan 2020 menjadi persoalan sejauh mana Wawasan Pendidikan Negara berjaya dicapai. Proses melahirkan insan yang dapat memberi sumbangan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan cemerlang pendidikan dalam erti kata sebenar (Mok Soon Sang, 2002).
Menurut Yahya Don (2005), proses perkembangan bangsa dan proses kemajuan negara berkaitan secara langsung dengan sistem pendidikan. Pendidikan bermutu melahirkan generasi yang sedar dan insaf dengan erti hidup dan tanggungjawab. Mereka berusaha memperkembangkan potensi masing-masing bagi mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, pendidikan berfungsi sebagai alat untuk memenuhi kepeluan-keperluan negara dalam pelbagai aspek sama ada politik, ekonomi dan sosial.
Dalam membincangkan proses pendidikan, kita harus memberi fokus akan kepentingan aspek pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran melibatkan kemahiran yang pelbagai serta mengintegrasikan unsur-unsur lain supaya menjadi lebih berkesan dan kreatif. Di samping itu, peranan guru yang kreatif dan inovatif amat penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mereka adalah efektif. Menurut Abd. Rahim (1999), daya kreativiti yang tinggi membolehkan sesuatu kaedah atau metod pengajaran mencorakkan perkembangan minda, emosi, sikap dan nilai para pelajar. Manakala inovatif pula ialah kebolehan seseorang guru memulakan sesuatu yang baru dalam bentuk kaedah, system pendekatan dan sebagainya.
Justeru, guru adalah pemangkin kepada para pelajar membina daya pemikiran yang analitikal, kritis dan kreatif bagi menghadapi perubahan-perubahan semasa. Ungkapan di bawah menggambarkan betapa pentingnya peranan guru sebagai penyalur ilmu dan kemahiran kepada para pelajarnya.
“As teachers we must believe in change, we must know it is possible, or we wouldn’t be teaching – because education is a constant prosess of change. Every single time you “teach” something to someone, it is ingested, something is done with it, and new human being emerges”
(Leo Buscaglia dalam Boon Pong Ying, 2005)

Pengajaran dan pembelajaran adalah proses yang berterusan dan tidak statik selari dengan perubahan-perubahan di sekeliling kita. Dalam era teknologi moden kini, perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran menuntut profesionalisme guru mendalami inovasi dalam pedagogi bagi memperbaiki serta memperkukuhkan kapasiti sebagai seorang pendidik. Bagi mengoptimumkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran terdapat pelbagai teori pembelajaran menjelaskan bagaimana seseorang belajar. Pendekatan teori-teori pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan.

TEORI PEMBELAJARAN
Tugasan ini akan membincangkan pendekatan pengajaran berasaskan Teori Pembelajaran Konstruktivisme dalam membantu guru (Cik Salimah) mengatasi pelajarnya yang tidak boleh membaca. Dalam hal ini, pelbagai kajian telah dibuat dan kaedah pembelajaran telah ditemui berhubung dengan manusia. Secara umumnya, proses pembelajaran dapat didefinisikan sebagai kaedah mengubah tingkahlaku manusia (behavior change) dan potensi (potential behavior change) yang ada pada seseorang, khususnya pelajar.
Dengan lain perkataan, proses pembelajaran manusia atau organisma berlaku berasaskan ‘hukum pekaitan’ (Law of Association) yang diutarakan oleh ahli Falsafah Yunani awal seperti Aristotle. Ivan Pavlov seorang ahli psikologi Rusia telah menjalankan satu siri percubaan secara saintifik dan sistematik mengkaji bagaimana pembelajaran berlaku pada sesutau organisma. Menurut Ivan Pavlov (1849-1936), ‘sesuatu organisma akan teringat sesuatu kerana sebelum ini ia pernah mengalami sesuatu yang berkaitan’. Tambah beliau lagi, ‘Learning is a result on an association formed between a stimulus (such as food) and a respond (the animal salivating)’. Dalam kajian ini, anjing telah ‘belajar’ mengaitkan bekas makanan yang dilihat dengan makanan yang diberikan kelak.
Oleh sebab itu, pemilihan strategi pengajaran yang sesuai untuk sesuatu pelajaran amat penting supaya penglibatan para pelajar pada tahap optimum. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, (2001), Teori Pembelajaran Behaviorisme banyak mempengaruhi pendidikan. Antara ahli psikologi yang mendokong Teori Behaviorisme adalah B.F. Skinner, John B. Watson dan Edward Thorndike yang mengkaji perubahan tingkahlaku seseorang individu. Menurut mereka, jika kita ingin sesuatu perlakuan itu dilakukan lagi atau diulangi maka kita hanya perlu mengukuhkannya dengan memberi ganjaran (reinforcement) atau jika kita hendak menghentikan atau mengurangkan sesuatu perlakuan maka kita menghukum atau menghentikan ganjarannya (punishment).
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru hanya perlu mengambil kira perubahan tingkah laku pelajar di akhir pengajaran tanpa mengambil kira apakah perubahan yang mungkin berlaku dalam minda pelajar semasa pengajaran. Guru hanya mengatur strategi dengan memberi ganjaran kepada pelajar yang menunjukkan perlakuan yang dikehendaki dengan aktiviti latih tubi. Justeru, guru lebih menekankan kepada apa yang pelajar boleh lakukan dan bukannya kefahaman mereka .
Bertitik tolak daripada Teori Behaviorisme, proses pembelajaran individu mensasarkan pengetahuan diperolehi secara kognitivisme. Seorang sarjana, Jean Piaget mengatakan bahawa kognitivisme adalah perwakilan mental yang dikenali skema. Skema akan menentukan bagaimana data dan maklumat yang diterima akan difahami oleh minda manusia. Jika maklumat tersebut sesuai dengan skema yang ada, maka skema tersebut diterima atau mungkin ditolak atau diubah suai.
Pandangan kognitivisme telah melahirkan Teori Pembelajaran Konstruktivisme yang menjelaskan pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Dalam konteks ini, pelajar tidak menerima sebarang maklumat (pengetahuan) tanpa berfikir dan menyesuaikannya dengan idea dan maklumat baru selaras dengan pengetahuan sedia ada mereka. Keadaan ini terbentuk hasil daripada interaksi sosial bersama guru dan rakan mereka. Bagi mencapai matlamat ini, guru perlu memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan minat pelajar.
Pendekatan Konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang mewujudkan bagaimana pengetahuan (knowledge) disusun dalam minda pelajar. Teori ini bertitik tolak daripada pandangan Teori Behaviorisme yang mengkaji perubahan tingkahlaku sehingga kepada kognitivism yang mengkaji tentang cara manusia (pelajar) belajar dan memperolehi pengetahuan yang menekankan perwakilan mental mereka. Pengetahuan (knowledge) dikembangkan secara aktif dan lazimnya pembelajaran berpusatkan pelajar (student-centred)
Bruner (1973), menyatakan bahawa pembelajaran merupakan proses di mana pelajar membina idea atau konsep baru berdasarkan pengetahuan semasa mereka. Kelebihan proses ini pelajar dapat memilih dan menginteprestasikan maklumat, membina hipotesis dan membuat keputusan yang melibatkan pemikiran mental (struktur kognitif seperti skema dan model mental) memberi makna dan pembentukan pengalaman dan membolehkan individu ‘melangkau melebihi maklumat yang diberikan’ (Beyond the information given). Justeru, pembelajaran adalah usaha pelajar sendiri dan bukannya dipindahkan daripada guru kepada pelajar. Konsep ‘menuang ilmu’ kepada pelajar itu sendiri tidak wujud, sebaliknya mereka berusaha dan menggunakan pengalaman atau pengetahuan sedia ada mereka.
Prinsip pembelajaran teori konstruktisvisme lebih menekankan aspek pembelajaran (learning) berbanding dengan pengajaran (teaching). Kekuatan teori ini memberi peluang dan ruang bagi pelajar memilih goal (goal), strategi dan penilaian ke atas pembelajaran mereka. Para guru hanya berperanan sebagai fasilitator (pemudah cara) serta membimbing pelajar ke arah pembelajaran mereka. Keadaan ini akan memberi lebih keyakinan dan motivasi kepada pelajar dalam meneroka pembelajaran berdasarkan inisiatif sendiri. Keupayaan para pelajar mengkonstruk mpengetahuan melalui aktiviti pembelajaran seperti projek atau kajian dan seumpamanya telah memaksimumkan kecenderungan kognitif (cognitive predisposition) mereka. Bagi mengatasi pelajar yang lemah membaca, penekanan diberi kepada mereka bagi membentuk kemahiran (skill) dan pengetahuan (knowledge) dengan mengaitkan pengalaman lampau untuk kegunaan masa depan. Para pelajar harus membina sendiri proses berfikir mereka dan kemahiran berkomunikasi yang baik dan jelas.
Sehubungan dengan ini, proses pembelajaran juga disifatkan sebagai satu aktiviti sosial yang menyokong pembelajaran koperatif (coporative learning) dan melibatkan penggunaan bahasa. Bahasa adalah disifatkan alat komunikasi yang penting (Abdullah Hassan & Ainon Mohd (2002). Di samping itu, Tarigan (1990), menyatakan keupayaan berfikir berkait rapat dengan keupayaan berbahasa, yakni membaca. Ini adalah kerana proses kognitif dalam bacaan membantu pembaca mengorganisasi, menginterprestasi dan menghubungkan pertalian dengan maklumat baru bagi menyalin makna. Selain itu, pembelajaran sebagai aktiviti sosial juga menggalakkan dialog dan perbincangan sesama pelajar atau antara guru dan pelajar. Oleh yang demikian, faktor berbahasa (membaca) dan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar perlu dititikberatkan.
Bertitiktolak daripada usaha guru (Cik Salimah) untuk membantu pelajar yang tidak boleh membaca pada tahap yang ditetapkan, pembelajaran secara Konstruktivisme berupaya menggalakkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif para pelajar. Daripada pelajar yang pasif sebelumnya, mereka akan lebih rasional dan bijak membuat keputusan dalam menghadapi kemungkinan cabaran di dalam dan luar kelas. Guru-guru perlu menyediakan alat Bantu mengajar (ABM) yang sesuai dengan pelajaran yang diajar supaya suasana pembelajaran yang menarik, bermakna dan seronok dapat dihasilkan.
Di samping itu, pengalaman para pelajar hasil interaksi mereka dengan orang lain dan persekitaran mencetuskan pemikiran dan kemahiran baru dalam struktur kognitif mereka. Pertembungan pengalaman baru dan lama bakal memberi erti idea baru dan diaplikasikan dalam kehidupan atau situasi baru dalam dunia nyata. Falsafah Pendidikan Sekolah Rendah (KBSR) 1981 menjelaskan:
“Murid-murid di peringkat sekolah rendah harus mendapat kemahiran dan pengetahuan melalui pengalaman secara langsung. Pengalaman ini adalah meliputi aspek intelek, rohani dan jasmani. Pengalaman yang patut dilalui oleh murid hendaklah sesuai dan relevan dengan matlamat yang hendak dicapai melalui aktiviti-aktiviti yang menarik. Perkara penting di dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah penglibatan setiap pelajar yang aktif”

Masalah pelajar yang tidak boleh membaca pada tahap yang baik banyak dipengaruhi faktor guru. Tabin et.al (1990), telah menjelaskan beberapa implikasi pengajaran guru di mana guru-guru perlu mengubah dan berubah pandangan mereka mengenai pembelajaran malahan juga amalan-amalan mereka dalam bilik darjah. Kejayaan pembelajaran diukir melalui pencapaian objektifnya selaras dengan aktiviti yang menyeronokan.
Kesimpulannya, Teori Konstruktivisme adalah satu teori pengetahuan (knowledge) yang berkait dengan membina pengetahuan oleh pelajar. Mereka menggunakan proses kognitif dalam menjana idea dan memperolehi ilmu pengetahuan dalam proses pembelajaran. Model pembelajaran Konstruktivisme disifatkan sebagai kaedah yang berkesan untuk pelajar memperolehi pemahaman pengetahuan, khususnya kemahiran membaca. Hasil interaksi sosial pelajar dengan persekitaran telah membentuk maklumat dan idea baru ke dalam struktur pengetahuan yang sudah sedia ada. Pelajar akan menjadi kreatif dan kritis. Aapabila berlaku pertembungan idea lama dan baru, para pelajar akan berupaya membuat analisis dan membentuk idea baru mereka yang lebih konkrit dan relevan.


APLIKASI TEORI KONSTRUKTIVISME DALAM KEMAHIRAN MEMBACA

Dalam Teori Konstruktivisme, proses pembelajaran berkembang hasil interaksi social manusia. Lev. Semenovich Vygotsky (1896-1934), seorang ahli psikologi Rusia telah memperkenalkan Teori Pembudayaan Sosial (Teori Konstruktivisme Sosial) berkisar akan peranan ‘bahasa’ (ucapan dan tulisan) yang digunakan untuk berinteraksi sebagai alat komunikasi bagi membina dan memperkembangkan pengetahuan serta pengalaman. Teori ini melihat akan kepentingan interaksi sosial dalam memperkembangkan kognitif (pemikiran) manusia. Beliau turut menekankan pengaruh kebudayaan dalam perkembangan kognitif para pelajar.
Masalah pembelajaran pelajar yang tidak boleh membaca dengan baik dapat dikaitkan dengan kelemahan kemahiran asas pembelajaran. Jika ditinjau secara sepintas lalu, masalah pelajar yang tidak boleh membaca sehingga menjangkau peratusan 30% bagi murid Tahun Lima disebabkan banyak faktor. Antaranya, sosioekonomi keluarga rendah dan kanak-kanak tidak menghadiri langsung program prasekolah (EPRD, 1994). Kanak-kanak tidak dipupuk dengan kemahiran asas membaca dan minat membaca, mempunyai tahap penguasaan yang rendah dalam bahasa, sama ada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kelemahan ini berpunca dari peringkat awal dan berterusan ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurut laporan EPRD, 1994:
“Masalah pembelajaran pelajar termasuklah kefahaman yang lemah, mudah lupa, tidak menumpu perhatian semasa pengajaran dan pembelajaran (P&P), tidak mengambil bahagian dalam proses P&P, tidak membuat kerja sekolah langsung atau membuat kerja sekolah dengan kurang sempurna, lewat menghantar atau tidak menghantar buku ke sekolah. Faktor-faktor ini menyebabkan pelajar lemah dalam pelajaran, malu untuk bertanya dalam kelas, bosan kerana tidak faham semasa P&P, rendah diri, tidak ada keyakinan untuk berjaya, ponteng kelas, dan kerap dimarahi guru”

Justeru, Cik Salimah disarankan untuk mengenal pasti strategi bagi mengatasi masalah membaca para pelajarnya. Anataranya, Konsep 4Celik bagi pemupukan budaya belajar dalam kalangan pelajar (Dr. Faridah Abu Hassan dan rakan-rakan, 2005).

Rogers (2002), menyatakan keupayaan berbahasa (verbal ability) banyak mempengaruhi pencapaian seseorang pelajar. Penggunaan bahasa yang berkaitan dengan ‘membaca’ adalah penting dalam membentuk bidang pembelajaran yang berkaitan. Di samping itu, Bloom (1987), menegaskan bahawa pembelajaran bahasa adalah ‘profaound ....in all of a humane learning’. Pembelajaran bahasa (membaca) seperti yang disarankan oleh L.S. Vygotsky adalah amat penting dalam kalangan pelajar kerana terdapat kaitan rapat antara kebolehan membaca dan kebolehan matematik. Oleh itu, kemahiran bahasa melalui membaca perlu diwujudkan bagi memantapkan celik bahasa dengan lebih baik.
Sehubungan dengan Teori Konstruktivisme sosial dalam kemahiran membaca menghendaki guru dan para pelajar memainkan peranan penting dan saling bekerjasama. Pembelajaran membaca menjadi suatu pengalaman dan menjadi maklum balas kepada pelajar dan guru. Proses interaksi sosial memerlukan keadaan bilik darjah yang kondusif dan merangsangkan.
Pembelajaran berbahasa, khususnya membaca lebih berkesan sekiranya pelajar aktif melibatkan diri dan menerima bimbingan daripada guru secukupnya. Dalam konteks ini, guru bertindak sebagai fasilitator yang akan merancang dan menekankan aktiviti yang berpusatkan pelajar (student-centred). Guru juga harus bersikap terbuka dan sentiasa menggalakkan pelajar membina pengetahuan membaca dan merangka idea mereka serta menghargai pandangan mereka.
Berdasarkan prinsip pembelajaran Konstruktivisme, ‘kemahiran membaca’ boleh dijalankan secara ‘hands-on’ dan ‘minds-on’. Pelajar boleh mengakses sendiri sumber atau bahan yang disediakan oleh guru seperti modul, buku, kad imbasan, jurnal dan terbitan lain. Unsur ICT dapat juga diterapkan melalui penggunaan komputer bagi membolehkan pelajar meneroka sendiri bahan pembelajaran yang berkaitan dengan membaca dan sesuai dengan tahap kebolehan mereka. Pembelajaran adalah satu proses yang aktif dalam membina pengetahuan dengan menjadikan teknologi sebagai alat bantu mengajar (Duffy dan Cunnigham, 1996).
Pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperatif adalah sandaran kepada bentuk komunikasi (berbahasa) pelajar dan pembelajaran kumpulan. Dalam kemahiran membaca, guru harus menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam proses membaca dan perbincangan. Pembelajaran koperatif dan kolaboratif menekankan gerak kerja berkumpulan dalam menyelesaikan masalah (problem-sloving). Perkins (1991), menyatakan bahawa pembelajaran koperatif mengilustrasikan agihan kecerdasan iaitu setiap individu dapat bertukar-tukar idea serta kemahiran bagi mencapai gol (goal) atau matlamat bersama.
Dalam konteks ini, guru perlu mengetahui strategi dan pendekatan yang menggabungkan teori dan praktik supaya guru dan pelajar dapat menyempurnakan proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan dengan Teori Konstruktivisme, pelajar memerlukan pembelajaran yang merangkumi dunia yang lebih luas daripada apa yang berlaku di dalam bilik darjah dan guru perlu menjadikan pengalaman sebenar pelajar sebagai intipati setiap pembelajaran.

Modul Pembelajaran Konstruktivisme
Terdapat pelbagai strategi dan kaedah mengajar yang boleh diterapkan oleh guru (Cik Salimah) dalam Teori Konstruktivisme Sosial sama ada di dalam ataupun di luar bilik darjah. Bagi pembelajaran corak ini, pengetahuan tidak diterima secara pasif tetapi dibina secara aktif oleh pelajar. Fokus harus diberikan kepada proses penyesuaian dan mengorganisasi dunia penglaman para pelajar bagi membantu idea atau pengetahuan baru mereka.

(1) Strategi Pembelajaran Kolaboratif
Pendekatan ini menekankan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar melalui aktiviti dan projek pembelajaran mereka. Kolaboratif turut menekankan perasaan ingin tahu pelajar dalam membina kemahiran membaca. Hasil daripada interaksi pelajar dengan bahan pengajaran, pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan guru. Schrage (1990), menyatakan pembelajaran kolaboratif adalah aktiviti bekerjasama kerana melibatkan perkongsian hasil pembelajaran bagi membentuk idea baru. Justeru, pelajar dapat membina pengetahuan yang lebih bermakna hasil pembacaan bersama berbanding dengan pembacaan secara individu.

(2) Strategi Pembelajaran Simulasi
Proses interaksi pelajar dengan bahan pengajaran seperti teks, grafik, animasi, bunyi dan sebagainya dapat membantu pelajar membaca dengan baik. Sowell (1989), mendapati penggunaan bahan konkrit dalam jangka panjang oleh guru dapat meningkatkan pencapaian pelajar dan sikap mereka. Simulasi adalah satu situasi yang memberi gambaran sebenar objek, proses atau peristiwa yang dilalui oleh pelajar dalam proses pembelajaran mereka. Dalam keadaan ini, pelajar dapat memahami kaedah membaca dengan betul dan yakin. Justeru, pelajar akan lebih seronok dan bermotivasi ke atas program membaca mereka.

(3) Strategi Pembelajaran Menyelesaikan Masalah
Proses menyelesaikan masalah (problem-sloving) dapat digabungkan dengan aktiviti pemainan bahasa. Pelajar akan memilih bahan yang sesuai dan tepat bagi menentukan kemahiran membaca yang sesuai dengan tahap pengetahuan mereka. Aktiviti berunsur hiburan dan menyeronokan sesuai digunakan untuk mengasah kemahiran mental, logik, pengetahuan dan proses menyelesaikan masalah dalam kalangan pelajar. Guru hanya berperanan sebagai fasilitator iaitu membimbing mereka ke arah penyelesaian masalah.

(4) Strategi Pembelajaran Perbincangan Kumpulan
Perbincangan adalah satu strategi yang melibatkan interaksi dua hala antara guru dengan pelajar atau pelajar dengan pelajar. Rashid dan Abdul Razak (1995), menyatakan bahawa kaedah perbincangan menggalakkan pertukaran idea secara bebas antara beberapa orang pelajar dan membimbing mereka mendapat pengetahuan yang baru. Dalam kemahiran membaca, perbincangan menggunakan bahasa dan pengucapan yang betul bagi memahami topik pembelajaran. Keadaan ini bukan sahaja melatih pelajar berkomunikasi malah turut membaca bahan-bahan yang berkaitan dalam tempoh perbincangan mereka.

Beberapa contoh strategi pembelajaran yang berasaskan Teori Konstruktivisme di atas memperlihatkan betapa pentingnya peranan guru (Cik Salimah) memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai bagi setiap pelajarnya, khususnya dalam program membaca.

TEORI KONSTRUKTIVISME DAN AMALAN GURU (PENGALAMAN)

Amalan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah amat penting bagi merealisasikan matlamat kurikulum. Pemilihan strategi dan kaedah pengajaran yang sesuai adalah perlu bagi seseorang guru kerana banyak mempengaruhi kejayaan pengajarannya. Berdasarkan pengalaman saya sebagai guru di sekolah, ‘pengalaman memberi perubahan’ dalam menyampaikan pengajaran. Tanggapan para yang datang ke situasi pembelajaran sebagai bekas kosong yang perlu diisi penuh oleh guru dengan pelbagai ilmu pengetahuan wajar diketepikan. Para pelajar juga lazimnya bukan pendengar yang pasif. Dalam konteks masa kini, perubahan besar telah berlaku, khususnya yang berkaitan dengan metod penyampaian pengajaran guru. Teras kepada Program Pembestarian mata pelajaran (Sekolah Bestari) menuntut guru menukar paradigma mereka kepada pengajaran berpusatkan murid (student-centred) dan berpusatkan bahan (material). Aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan amat dititikberatkan untuk menyampaikan pengajaran.
Aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan menggunakan computer yang berasaskan teori konstruktivisme dalam pembinaan perisisian pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam membekalkan program pengajaran yang sesuai dan mengembangkan potensi pelajar. Perkembangan intelek pelajar dapat digalakkan selari dengan kemahiran berfikir secara kristis dan kreatif. Bagi menjamin keseronokan pembelajaran, guru-guru yang berpengalaman wajar menyediakan alat Bantu mengajar (ABM) yang sesuai, menarik dan bermakna. Pembelajaran konstruktivisme bersifat aktif bukan pasif. Justeru, peranan sebagai guru bahasa di sekolah dapat diterjemahkan melalui bantuan computer dengan menyediakan bahan-bahan dalam bentuk perisian multimedia supaya pelajar dapat mengakses sendiri maklumat tersebut. Jonassen et. al. (1999), menyatakan bahawa pengetahuan bukanlah mudah untuk dipindahkan kepada pelajar sebaliknya proses membantu (perisian multimedia) pelajar dalam membina makna selaras dengan pengalaman mereka.
Pada pandangan saya, pembelajaran secara kovensional tidak lagi relevan dengan perkembangan dunia hari ini. Pendekatan konstruktivisme yang menggunakan komputer sebagai alat untuk membantu pengajaran berupaya menyelesaikan masalah pelajar di mana pemetaan berkonsep (concept mapping tools) secara kontektual digunakan (Boyle, 1997). Pengalaman saya mengajar kemahiran membaca dengan aplikasi komputer, didapati bahawa pelajar berupaya mengakses sendiri perisian bahan yang berkaitan. Dalam hal ini, saya menekankan format visual dan aplikasi model ditekankan supaya pelajar dapat melihat dan memahami proses membaca dengan betul. Pelajar akan menginterprestasi sendiri bahan bacaan tersebut dalam proses memahami dan mengingat berdasarkan kefahaman dan membina maksud mereka sendiri. Pelajar yang merekabentuk dan mengimplementasikan perisian sendiri tentang sesuatu topik membolehkan mereka memahami sesuatu konsep dengan lebih mendalam lagi (Kafai, 1996 dalam Hazimah, 2001).
Berdasarkan pengalaman dan logik, perisian komputer yang dirancang oleh guru perlu menggunakan pelbagai elemen ataupun persekitaran seperti warna, grafik, kesan bunyi, teks, penerapan nilai, motivasi, dorongan serta arahan secara interaktif supaya pelajar dapat mempelajarinya secara maksimum serta menarik minat mereka. Dalam konteks bahasa, pembinaan perisian perlu memastikan bahawa ejaan, bebas daripada prasangka dan sesuai dengan topik serta tahap pembelajaran pelajar. Peringkat pengajian sekolah rendah, memerlukan guru memilih bahan grafik yang menarik minat pelajar. Kenyataan ini dapat disokong dengan pandangan Douglas E. Wolfgran (1994) yang menyarankan ciri-ciri bahan perisian yang baik;
• Isi kandungan yang sesuai dengan objektif pembelajaran dan tahap kognitif pelajar;
• Arahan yang mudah dan jelas;
• Grafik yang menaruk;
• Terdapat selitan audio untuk menimbulkan rangsangan dan motivasi; dan
• Terdapat interaksi antara komputer dengan pelajar di mana maklumbalas dapat diberi secara serta merta.

Kesimpulannya, teori konstruktivisme dalam aplikasi perisian komputer adalah idea yang konkrit dan relevan dalam proses pembelajaran, yakni bidang bahasa mahupun bidang lain. Konstruktivisme dapat membantu pelajar membina ilmu pengetahuan yang menyatukan maklumat dan idea baru ke dalam struktur pengetahuan sedia ada pelajar. Kini, pengalaman saya sebagai guru telah mengubah amalan konvensional dan tradisional kepada pengajaran melibatkan aktiviti ‘hand-on’ dan ‘mind-on’ bagi mewujudkan pembelajaran yang seronok dan bermakna. Justeru, guru-guru perlu mengubah paradigma dan konseptual dalam menentukan strategi pengajaran mereka selaras dengan kemajuan global.

RUMUSAN
Teori Konstruktivisme memainkan peranan penting dalam membentuk pembelajaran dalam kalangan pelajar. Dalam kemahiran membaca, guru perlu kreatif memilih strategi pembelajaran supaya selari dengan perkembangan masa dan keperluan pelajar. Pengajaran secara konvensional oleh guru perlu diubah ke satu paradigma pembelajaran berpusatkan murid dan bahan sesuai dengan aplikasi konstruktivisme. Pendekatan ini menggalakkan pembelajaran berdasarkan penemuan (inquiry) dan penerokaan (explore). Oleh itu, dalam kemahiran membaca, guru boleh menggunakan kesepaduan ICT dengan perisian multimedia sebagai ‘tool’ bagi pelajar menguasai sesuatu topik pembacaan.
Secara praktikal, teori konstruktivisme sangat efektif dan berkualiti dalam menyampaikan kandungan pembelajaran. Dalam persekitaran pendidikan yang lengkap, penglibatan elemen-elemen ICT bersama dengan komponen guru, pelajar, buku, dan media lain sangat sesuai dengan proses pembelajaran. Strategi 4Celik turut menggariskan pelan tindakan untuk memastikan pelajar bijak membaca dan menguasai kemahiran lain dengan baik. Penekanan kepada konsep Celik Belajar dan Celik Bahasa perlu ditikberatkan oleh guru sebagai satu kaedah pengajaran yang sesuai supaya dapat membantu golongan pelajar yang lemah membaca.
Pengalaman saya sebagai seorang guru yang berkesan adalah perlu bagi membantu pelajar kita yang masih lemah, khususnya membaca. Guru merupakan pemangkin wadah perjuangan untuk pelajar membina daya pemikiran yang analitikal, kristis dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Dalam era teknologi moden, perkembangan ilmu pengetahuan (knowledge) dan kemahiran (skill) dalam mata pelajaran, inovasi dalam pedagogi menuntut warga guru mempertingkat dan memperkukuh profesionalisme kita. Dalam hal ini, ‘refleksi’ adalah ruang untuk menilai kekuatan dan kelemahan diri agar mereka dapat mengubahsuai proses pengajaran dan pembelajaran mereka dengan efektif demi kebaikan annak didik kita.

BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan & Ainon. (2002). Komunikasi Di Tempat Kerja. Kuala Lumpur : PTS
Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Boyle, Tom. (1997). Design for Multimedia Learning. Great Britain : Prentice Hall.

Brown, H.D. (1994). Teaching by principle : An introductive approach to
language pedagogy. New Jersey : Prentice Hall Reprints.

Bloom, A. (1987). The Closing o the American Mind. New York. Sinon & Schuster.

Bruner, J. (1973). Going Beyond the Information Given. New York : Norton.

Douglas E. Wolfgran (1994). Creating Multimedia Presentations. New York : Gold Disk.
Inc.

Duffy, T. D. & Cunningham, D.J. Constructivisme : Implication for the design
and delivery of instruction (dalam) D.H. Jonnassen, ed. Handbook of
educational communication and technology, 170-198. New York : Sinon
& Schuster Macmillan.

Educational Planning and Research Division – EPRD (1994). Drop-Out and Law
Achievement – Case Studies in Selected Primary Schools in Malaysia.

Faridah Abu Hassan dan Rakan-Rakan (2005). Kemiskinan Dan Pendidikan : Perubahan
Minda Orang Melayu Ke Arah Kecemerlangan Pendidikan Akademik (Jurnal).

Gardner, H. (2000). The Disciplined Mind. New York : Penguin Books.

Hazimah Hj. Samin (2001). Pengajaran dan Pembelajaran Berbantu Komputer.
http://planet.time.net.my/KLCC/azmo1/ge6663/ge6663_tugas4_i...

Lev. S. Vygotsky (1978). (Terjemahan) Teori Pembelajaran Sosial.
http://planet.time.net.my/KLCC/azmo1/Teori/Teori_Pembudayaan_S...

Mok Soon Sang (2002). Pedogogi Untuk Kursus Diploma Perguruan. Subang Jaya .
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Rashid Azizan & Abdul Razak Habib (1995). Pengajaran dalam bilik darjah :
Kaedah dan Strategi. Kajang : Masa Enterprise.

Perkins, D.N. (1991). Technology meets Contructivism :do they marrigel ? Educational,
31, No. 5 : 18 – 23.

Rogers, K. (2002). A study of 241 profoundly gifted Children.
At www.gifteddevelopment.Com/.

Sowell, E. J. (1984). Effects of Manipulative Materials in Mathematics Introduction.
Journal for Research in Mathematics Education, 20, pp. 498 – 505.

Tarigan, H.G. (1990). Membaca dalam Kehidupan. Bady. Penerbit Angkasa.

Tubin et. Al (1990). Overcoming Contraints to effective elementary Science Learning.
Science Education, Vol. 74, pp. 409 -420.

Yahya Don (2005). Kepimpinan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : PTS
Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah 2 (Nota Tema 1-Sejarah Asia Tenggara, Timur dan Selatan)

Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA STPM/S940 940/2 Kertas 2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan, dan AsiaTimur, 1800-1963 Bahagian B : Asia Tenggara, Asia Selatan, dan Asia Timur (Myanmar (Burma), Thailand, Laos, Kemboja (Kampuchea), Vietnam, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura,India, Pakistan, Sri Lanka, China, dan Jepun).

NEGARA PERSEKUTUAN

Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang berlandaskan perlembagaan bertulis sebagai undang-undang tertinggi. Ia mengamalkan sistem kerajaan persekutuan dan mengandungi 13 buah kerajaan negeri serta Wilayah Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan yang wujud pada hari ini adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan dipinda pada tahun 1963 untuk membolehkan penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perlembagaan ini mengandungi 181 Perkara yang dibahagikan kepada 14 bahagian. Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan seperti kebebasan asasi rakyat, kewarganegaraan, badan perundangan, dan kewangan.

AGAMA RASMI

Islam adalah agama rasmi Kerajaan Malaysia seperti yang telah tertakluk dibawah Perlembagaan Negara Malaysia .Perlembagaan mempunyai kedudukan istimewa. Ia merupakan satu-satunya institusi atau sumber perundangan yang tetap dan tertinggi. Pekara berkaitan agama didalam perlembagaan dinyatakan di bawah perkara berikut : Perkara 3 : • Ugama Islam ialah Ugama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. • Dalam tiap-tiap Negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja,kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diistiharkan oleh Pelembagaan Negeri itu, segala keistimewaan hak kedaulatan dan kuasa dinikmati olehnya sebagai Ketua Ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat tetapi tiadklah tersentuh atau tercatat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan,maka tipa-tiap orang R