Skip to main content

Pengajaran Pendekatan Bertema

Pendahuluan

Pendekatan bertema lazimnya dikaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sekolah. Keberkesanan program ini dilihat dari sudut penggabungjalinannya dengan pelbagai pespektif budaya pengalaman dan kebolehan artistik. Melalui kaedah ini, gaya pengajaran dan pembelajaran guru serta murid berada pada tahap positif kerana memberi impak bukan sahaja dari segi pemilihan tema (tajuk) malahan mencetuskan minat dan keupayaan mereka di dalam bilik darjah.

Rahil Mahyuddin (2000) mengaitkan tanggungjawab guru sebagai penyampai ilmu dan keberkesanan pengajaran dan pelajar belajar apa yang hendak disampaikan . Ekspektasi ‘akhir pengajaran’ adalah proses untuk mengenal pasti kegunaan beberapa pendekatan pengajaran yang boleh membantu pelajar menguasai kemahiran dan pemahaman yang diperlukan. Dalam hal ini, tema bukan sahaja sebagai tajuk atau subjek tetapi tema untuk meneroka pengalaman manusia dari segi pandangan atau perspektif dan seringkali boleh menimbulkan isu. Dengan kata lain, tema merupakan kandungan maklumat (ilmu) yang merupakan satu proses untuk mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai pembelajaran serta pemikiran kreatif para pelajar di sekolah.

Kepentingan Pendekatan Bertema
Pendekatan bertem yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah mempunyai kepentingan tersendiri dalam konteks guru dan pelajar. Dalam membincangkan aspek ini, ianya perlu dilihat dari segi kelebihannya bagi guru dan pelajar. Bagi guru, pendekatan bertema memberi peluang kepada mereka untuk menggabungkan antara mata pelajaran lain. Sebagai contoh, hubungan mata pelajaran Seni Visual, Muzik dan Pergerakan. Dalam hal ini, guru berupaya mengelola pelbagai bahan, aktiviti dan teknik pengajaran dan pembelajaran dalam satu-satu masa. Guru juga dapat mengintegrasikan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai pembelajaran serta pemikiran yang kreatif dengan menggunakan tema dalam proses pengajarannya di bilik darjah.

Selain itu, pendekatan bertema di pihak guru, ianya dapat meningkatkan tahap kecekapan mereka di dalam pelbagai mata pelajaran. Para guru juga dapat membentuk jaringan dan perkongsian pintar (smart patnership) dengan rakan-rakan guru lain dalam usaha mempertingkatkan mutu pengajaran mereka di dalam kelas. Tambahan pula, peluang ini dapat menjadikan guru-guru lebih kritis dan kreatif dalam merancang dan mengendalikan pengajaran supaya lebih berkesan lagi. Keadaan ini akan memberi manfaat kepada murid-murid mereka secara keseluruhannya.

Antara lain, guru lebih berminat terhadap tema yang dipilih bagi sesuatu pengajaran. Guru yang berminat dengan tema yang dipilih akan dapat memotivasikan dan mempertingkatkan lagi penglibatan pelajar terhadap aktiviti yang dijalankan di dalam bilik darjah. Sebab yang paling ketara tentang motivasi; motivasi rendah ialah kegagalan guru menerangkan kepada pelajar apakah tugas itu, mengapa mereka melakukannya dan apakah kemajuan yang mereka tunjukkan (Rahil Mahyuddin, 2000). Dalam konteks ini, guru juga harus meletakkan standard yang sesuai supaya dapat dicapai oleh pelajar mereka agar membantu pelajar mencapai matlamat yang realistik. Di sinilah peranan pendekatan bertema di mana memudahkan situasi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Kepentingan pendekatan bertema bagi pelajar pula, pelajar dapat menghubungkaitkan di antara pemahaman, sikap dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang kurikulum. Melalui pemilihan dan penentuan tema yang sesuai dan menarik merupakan satu langkah yang penting untuk memperkembangkan unit pembelajaran. Dengan cara ini ianya dapat mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran pelajar di sekolah. Keadaan ini juga dapat menyemai daya imaginasi melalui penerokaan pelbagai bidang dan aspek pembelajaran mereka. Sebagai contoh, pembelajaran melalui pemetaan konsep (peta minda) mampu menydiakan pelajar untuk lebih kristis dan kreatif dalam menjana idea bagi melengkapkan jaringan maklumat yang berkaitan dan sesuai dengan tema pembelajaran.

Tambahan pula, pembelajaran bertema dikatakan bersifat semula jadi dan bermakna kepada murid-murid kerana pembelajaran boleh dikendalikan secara ‘membuat’ dan ‘mengalami’ sendiri sesuatu aktiviti yang berjalan. Pengalaman-pengalaman yang terdapat pada murid-murid bukan sahaja berasa seronok malah berupaya mencetuskan minat ingin tahu dan mencari maklumat sendiri. Dalam konteks ini, murid-murid diberi peluang untuk berdikari, meneroka dan mengalami sendiri bagi setiap aktiviti yang dijalankan. Berdasarkan pengalaman yang terdapat dalam ingatan, seseorang pelajar boleh menggunakan pengalaman tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat keperluannya yang diselesaikan melalui pembiasaan, pembinaan kemahiran dan penyelesaian masalah (Atan Long, 1978).

Sebagai seorang pelajar yang berdaya saing dan tabah menghadapi cabaran, kemahiran komunikasi mereka juga turut terserlah di mana hubungan mereka secara personal dan interpersonal dapat ditingkatkan lagi sejajar dengan nilai empati, harmoni dan pemahaman sesama insan yang lain di sekolah. Hubungan baik dengan rakan-rakan dan guru merupakan aspek yang penting bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat. Keadaan ini akan mendorong proses pengajaran dan pembelajaran secara bertema ke tahap yang tinggi serta memberi faedah kepada semua pihak.

Pengintegrasian Mata Pelajaran : Seni Visual, Muzik Dan Pergerakan

Tarikh : 6 Julai, 2008
Masa : 08.00 – 09.00 pagi
Mata Pelajaran : Bahasa Melayu
Tahun : 3 Cergas
Bil. Pelajar : 35 orang
Tema : Buah-buahan
Perkara : Buah-buahan tempatan enak rasanya
Tajuk : Cara-cara membuat jus buah-buahan
Pengabungjalinan Kemahiran : 1. membaca teks
2. menulis jawapan yang sesuai
3. menyusun langkah-langkah membuat jus
Pengetahuan sedia ada : Pelajar telah terdedah dengan jenis buah-buahan dan memakannya sebilangan daripadanya semasa musim buah-buahan di negara kita.
Objektif Eksplisit : Pada akhir pelajaran murid akan dapat:
Aras 1 : (1) Berbual tentang sesuatu perkara yang dialami dan didengar dengan menggunakan bahasa yang sesuai khususnya yang berkaitan dengan buah-buahan tempatan.
Aras 2 : (2) Memberi penerangan tentang sesuatu perkara yang diperolehi dengan menggunakan ayat sendiri dengan jelas (menjawab soalan teks).
Aras 3: (3) Bersoaljawab dengan memberikan penerangan sebagai maklum balas (cara-cara membuat Jus Nanas dan Betik)
Objektif Implisit : Memahami dan menyedari akan kepentingan buah-buahan dan cara-cara membuat jus dengan betul.
Pengintegrasian
Mata Pelajaran : (1) Bahasa Melayu – membaca teks
(2) Seni Visual – melukis dan menyusun langkah-langkah membuat Jus Nanas dan Betik.
(3) Muzik – (a) Bunyi muzik menggunakan radio
kaset/VCD. (b) menyanyikan lagu ‘Buah-buan Tempatan’ dengan diringi muzik.
(4) Pergerakan – (a) Bergerak melambai-lamba tangan sambil bernyanyi dengan suasana riang
gembira. (b) Bergerak dalam pelbagai ’formasi’ – lurus, bulat, berselerak sambil menyanyi dan tepuk tangan.
(5) TMK – aplikasi komputer melalui tayangan slide power point.
Aktiviti P & P : Mengetahui tentang jenis buah-buahan tempatan dan cara-cara membuat Jus Nanas dan Betik.
Kemahiran Bernilai Tambah :
: Kecerdasan Pelbagai : Interpersonal
Kemahiran Berfikir : Membanding beza, menjana idea, membuat keputusan, membuat inferens.
Kemahiran Belajar : Mendengar, mencatat nota, memperolehi maklumat, gerak kerja
Strategi Pembelajaran : Berpusatkan murid, mediatif
Penerapan Nilai : Bersyukur, berusaha, keselamatan, penyayang dan jujur, berani mencuba, berhati-hati, bekerjasama, berusaha dan berjaya, minat dan sifat ingin tahu tentang alam sekeliling
Langkah keselamatan : Murid dikehendaki mengikut arahan guru dan ketua kumpulan semasa menjalankan aktiviti amali. Murid tidak dibenarkan bermain, berlari sebaliknya mematuhi arahan guru.
Bahan Sumber Pengajaran dan Pembelajaran : Kertas saiz A4, kad manila, pensil, pensil warna, gunting, gam, tali

Langkah-langkah Pengajaran Dan Pembelajaran:

1. Murid-murid diperkenalkan tentang buah-buahan yang terdapat di Malaysia melalui gambar, slide power point dan penerangan guru. Selepas itu, murid-murid diminta menyanyi berkaitan dengan lagu ‘Buah-buah Tempatan’ denga diringi muzik/VCD yang telah disediakan oleh guru.
(a) Pergerakan : (i) Menyanyi dan bertepuk tangan
(ii) Melakukan pergerakan dalam pelbagai ’formasi
lurus, bulat, berselerak sambil menyanyi dan tepuk
tangan.
(iii) Lirik lagu - ‘Buah-buah Tempatan’
Nanas berduri tajam (gelek-gelek)
Jambulnya sangat panjang
Cepatlah adik cepat
Nanas taklah makan orang

Kalau adik ingin tahu
Nanas buah tempatan
La la la la la la la..la la la la la la la..
Nanas sedap dimakan, umph!

* (ulang rangkap dengan Buah Betik) dan
Sebagainya
Sumber : Lagu Kanak-Kanak Prasekolah
dipetik daripada, www.MyTadika.com

(b) Muzik : (i) Bunyi muzik iringan daripada radio kaset / VCD.
(ii) Bunyi tepukan tangan murid-murid.
(c) Seni Visual : (i) Melukis gambar buah nanas dan betik dalam bentuk
kad (proses membuat jus buah-buahan)
(ii) Mewarna gambar-gambar tersebut.
(iii) Menyusun dan mengikat setiap kad tersebut supaya menjadi urutan yang betul untuk membuat jus buah nanas dan betik.
2. Pelajaran diteruskan dengan aktiviti lain seperti penerangan guru, membaca teks, kerja kumpulan, sumbangsaran dan menjawab soalan teks dengan baik.

3. Akhirnya, penutup bagi pelajaran; guru dan murid-murid merumus hasil pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid didorong untuk membuat rumusan dengan tepat dan sesuai dengan tema pembelajaran. Hasil kerja pelajar digantung di sudut akademik di bilik darjah. Guru memberi ganjaran dan kata-kata pujian kepada murid-murid. Secara praktik, guru menggalakkan murid-murid membuat tugas amali di rumah bersama-sama ahli keluarga lain untuk membuat jus buah nanas dan betik mengikut langkah-langkah yang betul.

Kebaikan Aktiviti Dalam Membantu Pelajar

Proses pengajaran dan pembelajaran melalui Pendekatan Bertema ini berupaya mengaitkan dengan tema (buah-buahan) dengan aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan tahap kefahaman dan kesedaran murid-murid untuk lebih mendalami tentang tema, perkara (buah-buahan tempatan) dan tajuk (membuat jus nanas dan betik) yang dipelajari sambil dibantu oleh muzik dan pergerakan dalam aktiviti seni visual tersebut.

Di samping itu, murid-murid digalakkan untuk mengembangkan kemahiran dan memindahkan idea, mengolah, sintesis dan penghargaan untuk mengembangkan pengetahuan muzik, seni dan pergerakan dalam penghasilan karya kreatif mereka berhubung dengan cara-cara / langkah-langkah membuat jus nanas dan betik. Di samping itu, murid-murid juga berpeluang untuk meluahkan perasaan berdasarkan pengalaman verbal dan bukan verbal dalam bentuk pergerakan, nyanyian, muzik berdasarkan tema yang diberi di atas.

Melalui aktiviti ini, murid-murid turut memperolehi pendekatan yang mendalam terhadap nilai-nilai murni diri mereka dan nilai-nilai guru dan rakan sedarjah. Mereka juga dapat menghubungkaitkan muzik, seni dan pergerakan dengan nilai ke dalam mata pelajara Bahasa Melayu berdasarkan kepercayaan dan kehendak manusia sejagat.

Penutup

Melalui pendekatan bertema ini, murid-murid dapat memahami dan mengingat sesuatu pembelajaran dengan baik dan berkesan. Berdasarkan tema yang dipiih,ianya mampu mendorong pelajar untuk mengingat dalam jangka masa panjang kerana diadaptasi dengan teknik dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai seperti seni visual, muzik dan pergerakan.Justeru itu, kefahaman murid-murid lebih terserlah lagi dengan peranan guru yang prihatin dan proaktif dengan tugas mendidik mereka.

Bibliografi:

_________.(2008). Modul HBEF 1403 Seni dalam Pendidikan. Universiti
Terbuka Malaysia : Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Atan Long. (1978). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia.(2000). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
Tahun 3. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.

Rahil Mahyuddin, et.al. (2000). Psikologi Pendidikan II. Selangor : Longman.

Jamaliah Bt Ahmad. (2005). Pendekatan Tematik. Dipetik daripada,
http://mpkt.edu.my/maimunah/PendekatanTematik.ppt#256,1,Pendekatan Tematik

Penghubungkaitan

Pengenalan

Pendidikan ialah satu institusi sosial yang sudah wujud sejak tamadun awal manusia lagi dan berfungsi untuk mewariskan budaya, tradisi, ilmu, pemikiran dan kemahiran hidup manusia. Senario pendidikan kini amat mencabar dan terus berkembang dalam konteks masyarakat global. Cabaran Perlaksanaan Wawasan 2020 menjadi persoalan sejauh mana Wawasan Pendidikan Negara berjaya dicapai. Proses melahirkan insan yang dapat memberi sumbangan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan cemerlang pendidikan dalam erti kata sebenar (Mok Soon Sang, 2002).

Menurut Yahya Don (2005) proses perkembangan bangsa dan proses kemajuan negara berkaitan secara langsung dengan sistem pendidikan. Pendidikan bermutu melahirkan generasi yang sedar dan insaf dengan erti hidup dan tanggungjawab. Mereka berusaha memperkembangkan potensi masing-masing bagi mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, pendidikan berfungsi sebagai alat untuk memenuhi kepeluan-keperluan negara dalam pelbagai aspek sama ada politik, ekonomi dan sosial.
Dalam hal ini, pendidikan yang berkualiti bakal menyumbang inovasi dan produktiviti yang tinggi bagi menangani cabaran negara dalam arus globalisasi. Selari dengan ini, usaha-usaha memantapkan sistem penyampaian, menyediakan tenaga pengajar yang berkelayakan dan memastikan kurikulum adalah relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara.

Dalam membincangkan proses pendidikan, kita harus memberi fokus akan kepentingan aspek pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran melibatkan kemahiran yang pelbagai serta mengintegrasikan unsur-unsur lain supaya menjadi lebih berkesan dan kreatif. Di samping itu, peranan guru yang kreatif dan inovatif amat penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mereka adalah efektif. Menurut Abd. Rahim Abd. Rahsid (2005) daya kreativiti yang tinggi membolehkan sesuatu kaedah atau metod pengajaran mencorakkan perkembangan minda, emosi, sikap dan nilai para pelajar. Manakala inovatif pula ialah kebolehan seseorang guru memulakan sesuatu yang baru dalam bentuk kaedah, sistem pendekatan dan sebagainya.

Dalam konteks pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh, Seni Dalam Pendidikan (SDP) merupakan satu lagi cabang ilmu ke arah melahirkan generasi pelajar yang berilmu pengetahuan dan berdaya saing. Terdapat tiga bidang utama dalam mata pelajaran ini, iaitu Seni Visual, Muzik dan Pergerakan. Ketiga-tiga bidang ini merupakan alat dan saluran yang penting di dalam usaha meningkatkan persepsi, estetika dan kreativiti pelajar dalam pembelajaran mereka.

Justeru, penggabungan ketiga-tiga mata pelajaran ini dalam SDP adalah selaras dengan usaha untuk melahirkan warga pelajar yang seimbang dan berkualiti. Selain itu, usaha untuk mejadikan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah lebih bermakna serta mencapai tujuannya.

Kepentingan Seni Visual, Muzik Dan Pergerakan

Dalam konteks Seni Dalam Pendidikan (SDP), ketiga-tiga bidang ini mempunyai kelebihan dan unsur yang positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pada masa kini, ketiga-tiga mata pelajaran ini merupakan subjek yang diajar di sekolah rendah dan merentasi kurikulum dalam mata pelajaran lain. Pada pandangan saya, mata pelajaran ini lebih menjurus kepada rasional untuk melahirkan pelajar yang serba boleh dalam pembelajaran mereka serta kegiatan harian yang berkaitan.

Ketiga-tiga bidang utama mata pelajaran ini sangat sesuai dan relevan dipelajari oleh semua golongan pelajar tanpa mengira umur, gender, kaum dan seumpamanya. Dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dengan jelas menyatakan akan kepentingan mata pelajaran Seni Visual di mana ianya memberi ruang dan peluang untuk para pelajar mempelajari dan mendalami pelbagai bidang bidang dari perspektif yang lebih luas berkenaan dengan khazanah ilmu dalam konteks seni warisan bangsa.

Pendidikan Seni Visual telah dianggap sebagai satu mata pelajaran yang penting dan berguna untuk memupuk bakat dan minat pelajar dalam jangka masa panjang supaya memiliki ciri-ciri insan yang berbudaya, mempunyai citarasa seni yang tinggi dan kreatif. Pengajaran dan pembelajaran adalah proses yang berterusan dan tidak statik selari dengan perubahan-perubahan di sekeliling kita. Dalam era teknologi moden kini, perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran menuntut profesionalisme guru mendalami inovasi dalam pedagogi bagi memperbaiki serta memperkukuhkan kapasiti sebagai seorang pendidik. Oleh itu, guru yang mengajar di sekolah harus memastikan pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran yang pelbagai serta mengintegrasikan unsur-unsur lain supaya menjadi lebih berkesan dan kreatif. Peranan sebagai seorang guru seni yang kreatif dan inovatif amat penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran terus berkesan dan relevan.
Berkenaan dengan bidang Muzik pula ianya akan memberi kefahaman berkenaan dengan kemahiran-kemahiran muzik dan memberi respon kepada ekspresi diri. Mengikut ketetapan Kementerian Pelajaran Malaysia, bidang muzik dalam pendidikan dapat memperkembangkan sifat-sifat yang merangkumi emosi, kreativiti, nilai estetika dan etika dalam kehidupan seseorang individu. Secara ironinya, matlamat pendidikan Muzik adalah berasaskan kepada proses untuk mencungkil bakat dan memperkembangkan aspek kendiri pelajar ke arah kualiti yang baik dan stabil. Pembentukan sahsiah yang baik amat dititikberatkan dalam pendidikan para pelajar.

Melalui bidang muzik di sekolah, para pelajar dapat meluahkan perasaan sambil berkarya. Antara aktiviti-aktiviti yang berkaitan adalah seperti nyanyian, pergerakan dan memainkan beberapa alat muzik yang sesuai dengan baik agar mereka menjadi pencinta muzik yang berjaya. Dalam hal ini, peranan guru biasa dan guru muzik di sekolah-sekolah sangat penting dalam menjadi pencetus semangat (pemangkin) kepada para pelajar dengan membina daya pemikiran yang analitikal, kritis dan kreatif bagi menghadapi perubahan-perubahan semasa. Justeru itu, guru adalah pemangkin kepada para pelajar membina daya pemikiran yang analitikal, kritis dan kreatif bagi menghadapi perubahan-perubahan semasa. Rahil Mahyuddin (2000) menyatakan tanggungjawab guru sebagai penyampai ilmu dan keberkesanannya pengajaran ialah kejayaan guru mencapai objektif dalam membantu pelajar belajar apa yang mereka hendak sampaikan.

Di samping itu, bidang pergerakan turut menjelaskan jenis-jenis pergerakan supaya dapat diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan pergerakan adalah suatu kaedah pengajaran yang unik kerana pelajar sedang belajar untuk bergerak, berfikir dan merasai sesuatu secara langsung. Antara lain, pergerakan membolehkan perkembangan yang menyeluruh diri pelajar iaitu perkembangan fizikal dan psikologi, kebolehan untuk belajar dan bergaul dengan orang lain. Dengan ini kemahiran interpersonal pelajar dapat ditingkatkan sejajar dengan keperluan pendidikan yang menggalakkan mereka berbuat demikian. Pendidikan pergerakan mampu memberi kesan positif ke atas pengajaran guru dalam membentuk keyakinan pelajar dan perkembangan mereka secara keseluruhannya.

Sebagai rumusan dapatlah dinyatakan di sini bahawa ketiga-tiga bidang Seni Visual, Muzik dan Pergerakan mempunyai kesan yang positif terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Ketiga-tiga bidang ini mempunyai kaitan di antara sama lain dalam mencorakkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di samping mewujudkan suasana persekolahan yang kondusif. Pengajaran dan pembelajaran adalah proses yang berterusan dan tidak statik selari dengan perubahan-perubahan di sekeliling kita maka sudah tentu kobinasi strategi dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai serta berkesan. Sebagai seorang guru yang profesional, kita sewajarnya merancang dan mengelola pengajaran dengan sistematik mengikut keperluan pelajar, memilih bahan, mengenal pasti teknik, memotivasi dan menilai pelajar secara berhemah dan berkesan.

Penghubungkaitan

Konsep pengajaran dan pembelajaran merupakan dua perkara yang saling berkait antara satu sama lain. Terdapatnya hubungan yang signifikan di antara kedua-dua unsur ini dalam proses mendapat pendidikan. Bagi guru, tugas mereka lebih cenderung kepada proses merancang, mengenal pasti strategi dan teknik, memilih bahan, memotivasi dan menilai pelajar manakala pelajar memberi tumpuan ke arah proses mendapat dan memperolehi maklumat serta perkara baru. Dalam proses mencari idea-idea baru dan idealisme pengajaran yang optimum, cabaran seseorang guru adalah amat getir supaya pengajarannya sentiasa relevan dan tidak kaku dan beku (Abd. Rahim Abd. Rahsid, 2005).

Penghubungkaitan dalam pengajaran dan pembelajaran memang tidak dapat dinafikan lagi. Hubungan yang rapat dan saling berkaitan merupakan satu bentuk penyelesaian masalah bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Keadaan ini ibarat sepasang tangan dengan jejarinya yang dianggap sebagai pelajar, manakala ibu jari sebagai gurunya. Semua jejari pelajar ini dibolehkan bergerak dan berfungsi dengan bebas tanpa had mahupun sekatan untuk meneroka seberapa banyak mungkin idea-idea yang baru yang boleh didapati di persekitarannya (Modul HBEF1403, 2008).

Terdapat beberapa kelebihan penghubungkaitan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kriteria-kriteria berikut harus dipatuhi dan difahami bagi memastikan keberkesanan proses perlaksanaannya oleh guru dan pelajar. Di antaranya ialah (i) mempunyai semangat saling bergantung; (ii) kemahiran sosial yang penting untuk berkomunikasi; (iii) kesedaran akauntabiliti individu; (iv) penilaian secara kumpulan; (v) penggabungan idea; (vi) mewujudkan suasana dinamik dan interaktif; dan (vii) menyerap pengetahuan serta kemahiran yang berkaitan (Modul HBEF1403, 2008).

Dalam penghubungkaitan, terdapat tiga jenis bidang pembelajaran iaitu penghubungkaitan antara mata pelajaran; penghubungkaitan antara seni visual, muzik dan pergerakan; dan menghubungkait pengetahuan dalam berbagai mata pelajaran. Dalam konteks ini, penghubungkaitan merupakan satu cara untuk menyelesaikan masalah dan ianya sentiasa berkait rapat antara satu sama lain tanpa ada menimbulkan masalah yang baru.

Perancangan pengajaran guru perlu bersifat bertanggungjawab bagi memastikan ianya benar-benar berkesan. Gardner (2000) menjelaskan dalam merancang pengajaran, guru harus menulis objektif perlakuan yang boleh diukur atau diperhatikan pada akhir pengajarannya. Di samping itu, guru perlu bertindak sebagai fasilitator (pemudah cara) iaitu memberi motivasi dan dorongan ke atas pelajar supaya sentiasa bersemangat dan terus berusaha dalam pelajaran mereka. Selain itu, guru-guru juga berperanan sebagai penyampai pengukuhan di mana mereka merancang dan memberi aktiviti-aktiviti yang mencabar dan mengukuhkan pengetahuan serta kemahiran pelajar. Mereka juga bertanggungjawab menyediakan bahan pembelajaran yang sesuai dan menarik supaya pelajar terus berminat untuk belajar. Menurut Noraziah Abdul Hamid (1981) dalam Kamarudin Hj. Husin (1988) ‘alat bantu’ pembelajaran dianggap sebahagian proses pengajaran dan pembelajaran yang bertujuan menambah kelancaran perhubungan antara guru dan pelajar dan pelajar sesama pelajar bagi mempercepatkan proses pemahaman mereka.

Dalam konteks ini, peranan guru yang merancang pelbagai pendekatan dan strategi pengajaran supaya tidak membosankan pelajar. Guru-guru perlu kreatif dan inovatif dalam menggunakan media (cetak dan elektronik) sebagai sokongan pengajaran mereka. Penggunaan media dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat menyediakan dasar yang kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran dan mengurangkan gerak balas lisan yang tidak diperlukan daripada murid-murid (Kamarudin Hj. Husin, 1988).

Setelah tamat sesuatu pengajaran, guru-guru bertanggungjawab dan wajar melakukan penilaian semula (refleksi) ke atas pengajaran mereka. Ini adalah langkah ‘check and balance’ dalam proses pengajaran mereka. Melalui cara ini guru dapat mengesan sebarang kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam pengajaran mereka dalam satu-satu sesi. Sekiranya terdapat kelemahan maka wajar bagi guru terbabit memperbaikinya dan jika ada kekuatan ianya perlu dikekalkan atau diberi nilai tambah supaya menjadi lebih berkesan lagi pada masa akan datang. Tindakan ini adalah sebagai iktibar pada masa akan datang. Abd. Rahim Abd Rashid (2005) menjelaskan pembelajaran yang bersifat refleksi membolehkan pelajar mendapat iktibar dan pengajaran daripada sesuatu yang sudah berlaku.

Menyentuh peranan pelajar dalam melaksanakan penghubungkaitan, mereka seharusnya bekerjasama dalam menyokong proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang oleh guru mereka. Pelajar digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti yang dirancang oleh pihak guru. Pengalaman hasil interaksi sosial pelbagai pihak akan mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat dan kondusif. L.S. Vygotsky (1978) menyatakan bahawa ‘interaksi sosial’ amat penting dalam membentuk perkembangan kognitif pelajar.

Di samping itu, para pelajar harus mempunyai kesediaan kognitif, sosial, psikologi dan fizikal yang baik sebelum proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Dengan menyediakan diri terlebih awal para pelajar berupaya menumpukan perhatian dengan lebih baik lagi dalam menguasai pembelajaran mereka. Keadaan ini sekaligus memberi kesan yang baik terhadap perkembangan diri mereka.

Oleh yang demikian, peranan guru dan pelajar dalam menjayakan penghubungkaitan bidang-bidang pengajaran dan pembelajaran sama penting dan wajar digembleng bersama untuk kebaikan semua pihak dalam jangka masa yang panjang.


Bibliografi:

Abd. Rahim Abd. Rashid. (2005). Profesionalisme Keguruan : Prospek
dan Cabaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gardner, H. (2000). The Disciplined Mind. New York : Penguin Books.

Kamarudin H. Husin. (1994). KBSM dan Strategi Pengajaran Bahasa (Edisi
Baru) Siri Pendidikan Perguruan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Sukatan Pelajaran Kurikulum
Berspadu Sekolah Rendah . Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur :
PPK.

Lev. S. Vygotsky. (1978). (Terjemahan) Teori Pembelajaran Sosial.
http://planet.time.net.my/KLCC/azmo1/Teori/Teori_Pembudayaan_S...

Mok Soon Sang. (2002). Pedogogi Untuk Kursus Diploma Perguruan. Subang
Jaya .Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Rahil Mahyuddin, et.al. (2000). Psikologi Pendidikan II. Selangor : Longman.

Yahya Don. (2005). Kepimpinan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : PTS
Profesional Publishing Sdn. Bhd.


Pendekatan Bertema

Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan akan membentuk satu penyampaian ilmu yang baik. Dalam hal ini, kemahiran guru menyusun atur proses pengajarannya adalah satu langkah ke perkembangan ilmu sekali menguatkan lagi daya ingtan pelajar tentang apa yang dipelajari oleh mereka. Keupayaan guru mengorganisasikan pengajaran dan pembelajaran membolehkan pelajar menguasainya dengan baik. Selaras dengan ini, penyampaian penyampaian guru perlu berkesan, teratur, tersusun dan mempunyai kaitan antara satu dengan lain. Penstrukturan pelajaran yang dilakukan oleh guru akan membentuk pembelajaran yang berkesan dan kekal dalam jangka masa panjang (Abd. Rahim Abd. Rashid, 2005).

Dalam hal ini, pendekatan bertema merupakan satu usaha untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Pendekatan bertema merupakan satu usaha untuk mengintegrasi pengetahuan, kemahiran dan nilai pembelajaran serta pemikiran yang kreatif dengan menggunakan tema. Pelajar digalakkan mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembelajaran kerana secara semulajadi kanak-kanak belajar dengan cara membuat dan mengalami sendiri sesuatu aktiviti itu. Proses penerokaan dan mengalami sendiri situasi pembelajaran akan memberi peluang pelajar berdikari. Pengalaman-pengalaman yang bererti kepada pelajar akan mencetuskan keseronokan, perasaan ingin tahu dan mencari maklumat sendiri.

Dalam tugasan ini, mata pelajaran yang akan dipilih untuk pengajaran pendekatan bertema ialah Bahasa Malaysia, Tahun 2. Topik yang dipilih adalah berkaitan dengan pembelajaran berbahasa. Salah satu ciri penting pendekatan bertema ialah pembelajaran dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Dalam pengajaran ini, perancangan guru merupakan peringkat yang paling asas dan penting. Dalam proses guru merancang aspek-aspek seperti skop, perkara dan bidang haruslah selaras dengan tema yang dipilih berpandukan sukatan pelajaran yang sedia ada. Bagi setiap tema yang dipilih seseorang guru perlu memahami setiap peringkat perkembangan tema. Dalam konteks ini, seseorang guru perlu memperkembangkan aktiviti-aktiviti berdasarkan aspek-aspek tertentu. Rajah1 di bawah dapat menjelaskan garis panduan dalam menyediakan pendekatan bertema bagi tema yang hendak diajar.

Cara Perkembangan Tema Dan Peringkat-Peringkat Perkembangan Tema
Peringkat Pertama
Perbincangan dan perkembangan tema

Peringkat Kedua
Perlaksanaan idea dan aktiviti

Peringkat Ketiga
Pelajaran bersepadu mengikut tema yang berdasarkan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran

Rajah 1 : Model Garis Panduan Perbincangan dan Perkembangan Tema
Sumber : Diubahsuai daripada Modul Latihan Guru Program Transisi dan Guru
Penyayang Tahun 1, Kementerian Pendidikan Malaysia, (2000).

Bagi pendekatan bertema yang dipilih dalam tugasan ini ialah tema pakaian berasaskan kandungan dan kemahiran berbahasa. Dalam menentukan fokus dan konsep perkembangan idea bagi tema pakaian, seseorang guru harus berpandukan model di atas bagi menentukan kronologi perkaitan idea-idea yang hendak diajar kepada pelajar. Keadaan ini akan memberi lebih kefahaman dan penyusunan idea secara teratur dan jelas mengikut kepentingannya.

Perkembangan idea bagi tema pakaian yang dipilih di mana pelajar akan diberikan gambar pakaian dalam bentuk kertas mahupun pakaian sebenar (bahan maujud). Selepas itu pelajar akan berbincang dan mencari maklumat yang berkaitan denganpakaian berpandukan model di atas dengan bersandarkan soalan-soalan yang berkaitan.

Fokus dan Konsep Utama Pendekatan Bertema

(i) Persoalan berkenaan dengan tema yang dipilih

Rajah 2 : Perkembangan Perspektif dan Idea Bagi Tema Yang Dipilih

(ii) Perkembangan bagi tema pakaian yang dipilih

Fokus Dan Konsep Utama Perkembangan Idea Tema Pakaian
Fungsi (i) Mengapa kita berpakaian ?
(ii) Apakah gunanya butang?
(iii) Apa pakaian yang kita gunaka untuk ....tidur ? (bersenam, hari hujan, sembahyang, perayaan)
Perspektif (i) Apa pakaian yang saya suka / tidak suka ?
(ii) Apa yang menjadikan pakaian cantik ?
(iii) Bolehkah kita buat pakaian daripada kertas ?
(iv) Adakah binatang berpakaian ?
Perubahan (i) Apa bezanya baru dan lama ?
(ii) Apa bezanya antara pakaian orang dahulu dan sekarang ?
(iii) Apakah yang berubah (Contoh : Fesyen)
Tanggungjawab (i) Bagaimanakah kita menjaga pakaian kita ?
(ii) Apakah tanggungjawab kita di rumah ?
Sebab dan Akibat (i) Mengapa orang seperti .....berpakaian tertentu ?
(contoh : polis, bomba, guru, jururawat, petani)
Rupa / Bentuk (i) Apa jenis pakaian kita pakai ?
(ii) Adakah semua orang berpakaian yang sama ?
Refleksi (i) Bagaimana boleh kita tahu dari mana datangnya kain ?
(ii) Bagaimana boleh kita tahu mengenai pakaian dari tempat lain ?
(iii) Bagaimana dapat kita tahu...?

Jadual 1 : Perkembangan Idea Tema Pakaian

Melalui pendekatan bertema ini, pelajar akan menjadi lebih kritis dan kreatif dalam menyemai daya imaginasi melalui penerokaan soalan-soalan yang berkaitan dengan tema. Keadaan ini turut mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokan dan sesuai dengan pengalaman serta pengetahuan masing-masing. Perkembangan idea bagi tema pakaian yang dipilih turut membaiki kemahiran interpersonal dan intapersonal para pelajar. Sebagai kesimpulannya, pendekatan bertema membolehkan pelajar menghubungkaitkan di antara pemahaman, sikap dan kemahiran di dalam aspek pembelajaran mereka di sekolah.

Pengintegrasian Mata Pelajaran

Proses pengintegrasian mata pelajaran di sekolah oleh guru merupakan perkara yang penting juga. Terdapat pelbagai jenis pengintegrasian yang dapat dikenal pasti di antaranya ialah pengintegrasian pelbagai kemahiran dan mata pelajaran tertentu dalam konteks kurikulum di sekolah rendah. Dalam tugasan ini, aktiviti pengintegrasian mata pelajaran yang boleh dijalankan adalah yang berkaitan dengan integrasi Seni Visual dalam pendidikan, muzik dan pergerakan dengan mata pelajaran Sains. Secara nalurinya, kanak-kanak amat menggemari aktiviti melukis dan mewarna. Dengan kemahiran ini para pelajar dapat mengaplikasi kemahiran melukis mereka dengan melukis gambar dan objek dalam mata pelajaran Sains mereka. Sebagai contoh, seperti melukis gambar haiwan dan tumbuhan. Para pelajar dapat melahirkan karya seni mereka dalam meningkatkan pemahaman mereka supaya kekal lama.

Dalam pada itu, para pelajar boleh melukis dan melengkapkan peta minta (pemetaan konsep) berkenaan denan topik sains. Contohnya, topik yang berkaitan dengan pokok (nama pokok, kegunaan, bagaimana ia tumbuh, bahagian pokok, apa yang kita beri kepada pokok, nama pokok dan lain-lain). Pelajar sangat mudah mengingati isi pelajaran dengan menggunakan peta minda yang mereka reka sendiri. Menurut Som Hj. Nor dan Mohd Dahalan Mohd Ramli (1998) peta minda membolehkan pelajar mengingati sesuatu dengan mudah. Di samping itu, kemahiran menggabungkan dan menseimbangkan kegunaan otak kanan dan otak kiri semasa belajar adalah amat sesuai bagi seseorang pelajar.

Pengintegrasian Muzik dengan mata pelajaran Sains boleh dilakukan melalui aktiviti nyanyian. Lagu-lagu yang dipilih hendaklah sesuai dengan topik yang diajar. Sebagai contoh, sekiranya guru mengajar topik “Benda Hidup”, lagu yang sesuai dinyanyikan oleh pelajar di dalam bilik darjah ialah “Tanya Sama Pokok” kerana pokok adalah sebahagian benda hidup.

Rajah 3 : Integrasi Seni Visual, Pergerakan, Muzik dan Sains

Kesesuaian aktiviti nyanyian melalui pengintegrasian mata pelajaran Muzik, para pelajar turut menikmat kemahiran pergerakan yang sesuai dengan tempo muzik dan jenis pergerakan. Pelbagai ‘formasi’ boleh dibentuk seperti bulatan, berpasangan, segitiga dan sebagainya. Keadaan ini dilakukan bagi memotivasikan dan mengaktifkan para pelajar dengan aktiviti yang dijalankan. Dalam masa yang sama mereka bertepuk tangan bagi menunjukkan rasa keriangan bagi aktiviti yang dijalankan.

Proses pengintegrasian dalam mata pelajaran banyak membantu para pelajar dalam menguasai kemahiran belajar mereka. Banyak peluang dan ruang untuk mereka melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pelajar-pelajar didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang berguna dalam usaha melatih mereka menjadi pelajar yang aktif dan progresif. Penggunaan strategi ini membolehkan pelajar berpeluang menguasai beberapa kemahiran yang berkaitan dengan cara bersepadu.

Selain itu, pembelajaran mereka tidak terhad kepada satu-satu bidang sahaja malah berkembang dan merangkumi bidang lain. Dengan cara ini para pelajar bukan sahaja bertambah bijak malah tahap kreativiti mereka turut meningkat. Perkara yang amat penting sekali adalah berhubung dengan motivasi mereka dalam belajar. Para pelajar dapat dirangsang untuk meminati sesuatu mata pelajaran, kemahiran dan sebagainya dengan adanya proses pengintegrasian mata pelajaran yang dijalankan oleh guru mereka. Justeru itu, prestasi akademik pelajar turut meningkat juga.

Rumusan
Dalam hal ini proses penghubungkaitan mata pelajaran banyak memberi kesan positif ke atas pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bidang-bidang kemahiran Seni Dalam Pendidikan (SDP) yang mencakupi aspek penghubungkaitan, pendekatan bertema dan pengintegrasian mata pelajaran jelas memperlihatkan kepentingannya secara menyeluru. Pelajar bukan setakat mengetahui banyak perkara malah berupaya menunjukkan keterampilan diri yang unggul. Justeru itu, pelajar-pelajar akan menjadi kreatif dan inovatif sepanjang masa.

Bibliografi:

_________.(2008). Modul HBEF 1403 Seni dalam Pendidikan. Universiti
Terbuka Malaysia : Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Abd. Rahim Abd. Rashid. (2005). Profesionaisme Keguruan : Prospek
dan Cabaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Modul Latihan Guru Program Transisi
dan Guru Penyayang Tahun 1. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.

Rahil Mahyuddin, et.al. (2000). Psikologi Pendidikan II. Selangor : Longman.

Som Hj. Nor & Mohd Dahalan Mohd Ramli. (1998). Kemahiran Berfikir Secara
Kritis & Kreatif (KBKK). Selangor : Longman.

Comments

  1. terima kasih atas maklumat yang berguna ini. tulisan saudara amat membantu saya dalam menyiapkan tugasan saya. terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih....sesiapa yang singgah kat blog saya ini, sila beri komen..hehehe!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Sejarah 2 (Nota Tema 1-Sejarah Asia Tenggara, Timur dan Selatan)

Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA STPM/S940 940/2 Kertas 2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan, dan AsiaTimur, 1800-1963 Bahagian B : Asia Tenggara, Asia Selatan, dan Asia Timur (Myanmar (Burma), Thailand, Laos, Kemboja (Kampuchea), Vietnam, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura,India, Pakistan, Sri Lanka, China, dan Jepun).

NEGARA PERSEKUTUAN

Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang berlandaskan perlembagaan bertulis sebagai undang-undang tertinggi. Ia mengamalkan sistem kerajaan persekutuan dan mengandungi 13 buah kerajaan negeri serta Wilayah Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan yang wujud pada hari ini adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan dipinda pada tahun 1963 untuk membolehkan penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perlembagaan ini mengandungi 181 Perkara yang dibahagikan kepada 14 bahagian. Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan seperti kebebasan asasi rakyat, kewarganegaraan, badan perundangan, dan kewangan.

AGAMA RASMI

Islam adalah agama rasmi Kerajaan Malaysia seperti yang telah tertakluk dibawah Perlembagaan Negara Malaysia .Perlembagaan mempunyai kedudukan istimewa. Ia merupakan satu-satunya institusi atau sumber perundangan yang tetap dan tertinggi. Pekara berkaitan agama didalam perlembagaan dinyatakan di bawah perkara berikut : Perkara 3 : • Ugama Islam ialah Ugama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. • Dalam tiap-tiap Negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja,kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diistiharkan oleh Pelembagaan Negeri itu, segala keistimewaan hak kedaulatan dan kuasa dinikmati olehnya sebagai Ketua Ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat tetapi tiadklah tersentuh atau tercatat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan,maka tipa-tiap orang R