Skip to main content

Artikel Fenomena Sosial di Malaysia hari ini.

Pengenalan

Dewasa kini negara kita Malaysia sudah berada pada landasan kemajuan dan pembangunan yang pesat serta berkembang. Situasi ini seiringan dengan perubahan angin kemajuan di peringkat global yang kian tiada garis sempadan lagi. Tahap penerimaan nilai-nilai yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial manusia pada peringkat global sudah tidak dapat dikawal lagi malah ianya telah mengubah dan mencorak kepelbagaian hidup manusia di seluruh dunia. Pendek kata, dunia sudah dilabelkan tidak mempunyai sempadan lagi dalam konteks teknologi maklumat. Begitu juga dengan proses penerimaan dan perkembangan manusia terhadap norma kehidupan mereka.

Persoalannya, kehidupan masyarakat di negara ini yang diwarnai pelbagai tingkah laku sosial yang dahulunya disifatkan baik, berbudi bahasa, lemah lembut, bertolak ansur, rasional dan sebagainya sudah mulai kian luntur dek perkembangan waktu dan diasimilasikan dengan pengaruh luar. Dalam konteks ini, norma-norma kehidupan yang harmoni pada suatu ketika dahulu kian menerima dan berhadapan dengan situasi yang tidak stabil lagi. Banyak perkara yang dilakukan oleh golongan masyarakat moden hari ini sudah menyimpang daripada nilai ketimuran masyarakat Malaysia dahulunya. Fenomena tingkah laku sosial ini sudah tidak sealiran lagi dengan tuntutan masyarakat yang mementingkan norma-norma kehidupan yang baik-baik.

Dengan kata lain, masyarakat sekarang sudah cukup selesa berada dalam kelompok masyarakat moden kompleks yang bebas melakukan apa sahaja selari dengan keperluan dan citarasa sendiri tanpa memikir panjang sebab akibat serta nilai masa silam yang menjadi pegangan nenek moyang mereka sejak dahulu lagi. Fenomena ini telah mencetuskan masalah sosial yang banyak di negara ini sehingga menjadi gejala yang serius dan sukar dibendung lagi. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan kerajaan di mana banyak dilaporkan dalam media massa seperti akhbar, televisyen, internet dan alat komunikasi yang lain.

Trend fenomena sosial di negara ini besifat positif di mana saban hari kita mendengar dan disajikan dengan berita-berita jenayah, keruntuhan rumah tangga, masalah remaja, isu pendidikan, politik yang haruk-pikuk, ekonomi gawat dan sebagainya. Fenomena tingkah laku sosial yang menyeleweng lazimnya melanggar tatasusila yang ditentukan oleh sesuatu kumpulan masyarakat (Rohani Awang, 1996) dalam Abdullah Sani Yahaya (2005). Masalah-masalah ini sedikit sebanyak mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain sehingga menjadi fenomena sosial yang lebih besar serta mempunyai pengaruh dalam pembangunan negara dan masyarakat, khususnya keluarga. Dalam proses memantapkan institusi keluarga ke arah budaya penyayang kita terpaksa berhadapan dengan masalah sosial yang kian menular dan sesetengahnya sukar dibendung.

Fenomena Tingkah Laku Sosial

Fenomena sosial yang menyeleweng daripada norma kehidupan harmoni masyarakat kita kian luntur dan bertambah samada berdasarkan statistik atau laporan media massa tiap-tiap hari. Usaha pihak kerajaan dalam melahirkan masyarakat penyayang dan keluarga bahagia menghadapi haluan getir apabila berhadapan dengan fenomena sosial yang banyak berlaku dalam masyarakat dan keluarga itu sendiri. Menurut Ami Masra (dalam Akademik) (1996) kebimbangan yang berlaku sekarang adalah berikutan peningkatan masalah sosial dalam kerajaan dan masyarakat di negara ini. Di Malaysia, peningkatan fenomena sosial ini lazimnya dikaitkan dengan golongan remaja yang merupakan sebahagian besar daripada golongan masyarakat dan waris kepada sesuatu keluarga. Oleh kerana bilangan kelompok ini lebih ramai, maka masalah yang berkaitan dengan mereka juga banyak. Walau bagaimanapun, permasalahan sosial ini turut melibatkan keseluruhan lapisan masyarakat tanpa mengenal kaum, agama dan asal usul mereka.
Permasalahan sosial yang sedang meruncing kini seharusnya mendapat perhatian semua pihak yang cintakan negara ini dan mereka yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju contoh. Sama ada secara sedar atau tidak, peningkatan kes-kes yang dikategorikan sebagai gejala sosial kini berada pada tahap yang agak membimbangkan, malah mungkin juga “mencemaskan”. Ini dapat dibuktikan melalui pendedahan dan laporan harian media massa mengenai peningkatan kes-kes berkenaan. Setiap hari kita akan mendengar atau membaca berita serta liputan mengenai kes-kes gejala sosial. Masalah sosial adalah suatu tindakan yang merangkumi pelbagai perlakuan negatif masyarakat yang tidak membawa kekuatan serta keuntungan kepada sesebuah negara, samada kepada struktur sosial, politik mahupun sistem ekonomi negara berkenaan. Perlakuan yang menyimpang daripada nilai dan norma masyarakat ini mengundang kerisauan dalam masyarakat berkenaan kerana ia boleh memecahkan struktur nilai yang dipegang oleh sebahagian besar komuniti tersebut.

Menurut kajian Amaludin Abd. Rahman dan Khadijah Alawin (2004) dalam (V. Raman (2008) terdapatnya 28 jenis masalah sosial yang dihadapi oleh golongan remaja masa kini. Masalah berkenaan dapat diperincikan melalui senarai berikut :

Bil. Masalah Sosial Bil. Masalah Sosial Bil. Masalah Sosial
1 Merokok 2 Tonton video lucah 3 Tonton filem lucah
4 Mencuri 5 Lari dari rumah 6 Minum arak
7 Putus cinta 8 Pil khayal 9 Berjudi
10 Simpan gambar lucah 11 Hubungan jenis luar nikah 12 Peras ugut
13 Pecah rumah 14 Hisap dadah 15 Rogol
16 Samun 17 Rasuah 18 Maksiat
19 Bercerai 20 Jenayah bunuh 21 Seks rambang
22 Bohjan 23 Homoseks 24 Bohsia
25 Lesbian 26 Pelacur/Dilacur 27 Gugur anak
28 Buang anak

Dalam konteks pembangunan keluarga yang bahagia individu-individu seperti datuk, nenek, ibu bapa dan anak-anak harus memainkan peranan masing-masing sejajar dengan tanggungjawab kendiri sebagai ahli keluarga. Sebagai mana yang dinyatakan di atas, golongan anak-anak (remaja) itu sendiri banyak mencorakkan perjalanan institusi keluarga ke arah pembangunan yang positif. Dengan adanya fenomena sosial yang menyeleweng maka sudah tentu kumpulan anak-anak (remaja) ini yang banyak menyumbangkan kepada masalah dan keruntuhan institusi keluarga mereka sendiri. Banyak keluarga yang dahulunya bahagia, kini menjadi porak poranda angkara masalah yang melibatkan golongan remaja yang sukar dibendung ini.

Antara faktor-fakor yang menyumbangkan kepada permasalahan pembangunan keluarga ini adalah penglibatan remaja itu dalam aktiviti jenayah samada ringgan atau berat. Remaja yang terlibat dalam jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin tetapi juga keluarga berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang yang baik. Justeru, bolehlah dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.

Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakuan dan pergaulan anak remaja mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor keruntuhan akhlak.

Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral. Justeru, sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya menjalankan kewajipan dengan merancang aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat, pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal selia anak sepanjang masa.

Pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.

Pengaruh di sekolah juga penting dalam pembentukkan akhlak remaja. Tekanan yang dihadapi pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan dalam akademik serta guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang bermasalah akhirnya menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat. Situasi ini didorong oleh kurang perhatian daripada ibu bapa di rumah.

Dalam proses menangani masalah-masalah sosial remaja masa kini, kita terpaksa berhadapan dengan banyak cabaran dan dugaan. Bagi mengatasi masalah sosial ini, sikap dan tingkah laku remaja perlu diubah sama ada remaja itu sendiri mengubah sikap dan perilaku mereka sendiri atauun orang lain yang memainkan peranan membantu remaja yang terliat dalam gejala menyeleweng ini bagi berubah sikap. Dalam hal ini, peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik.

Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi “role model” kepada anak.

Menurut V. Raman (2008) melalui pendekatan akademik boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas. Di sekolah misalnya, sistem perundangan yang baik adil wajar diaplikasikan. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin. Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.

Berkenaan dengan pendekatan psikologi, memberi kaunseling dan bimbingan ke atas remaja yang bermasalah amat wajar. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut. Dari segi penglibatan pihak lain, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif.

Justeru, melihat permasalahan tingkah laku yang melanda para remaja kita pada hari ini amatlah mencemaskan. Tindakan bagi mengawalnya sudah sampai pada tahap yang dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan generasi Malaysia. Walaupun banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai fenomena tingkah laku sosial yang menyeleweng ini, tetapi kajiannya lebih bersifat kepada tujuan akademik dan tertumpu kepada punca masalah yang biasanya bersifat umum sahaja. Namun demikian, segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja perlu dibendung dan diatasi supaya ianya tidak terus mewujudkan ancaman besar kepada aset yang tidak ternilai ini.

Kes Penculikan Kanak-Kanak

Kes-kes yang melibatkan penculikan kanak-kanak di negara bukanlah perkara yang baru. Perkara seperti ini ada berlaku di mana-mana negara di dunia ini. Perkara yang membezakan corak dan bentuk kes-kes penculikan kanak-kanak adalah bersandarkan kepada motif dan modus operandi yang digunakan oleh si penculik. Dalam konteks penculikan kanak-kanak ini di Malaysia, ianya sememangnya bersabit secara langsung dengan fenomena tingkah laku sosial yang menyeleweng (devian) yang menyimpang daripada tatasusila masyarakat umum dan undang-undang negara. Kes menculik kanak-kanak ini di Malaysia kini seolah-olah memperlihatkan trend ke arah positif dan bersifat keterlaluan di mana si penculik sanggup menyiksa dan membunuh bagi tujuan tertentu.

Menurut Abdullah Sani Yahaya (2005) beliau menyifatkan tindakan fenomena sosial yang menyeleweng (devian) ini di luar batasan kawalan manusia. Devian lazimnya bermula selepas berlakunya masalah remaja sehingga membawa kepada masalah yang jauh lebih besar dan tregik. Tindakan si penculik ini dianggap sebagai satu penyakit tingkah laku sosial di mana sukar untuk diselesaikan, kekadang ianya akan memakan diri mereka sendiri. Dengan ini, mereka akan memilih jalan yang tidak betul bagi menyelesaikan masalah dengan menculik kanak-kanak terbabit.

Tindakan seseorang yang menculik kanak-kanak bukan sahaja dilihat sebagai fenomena tingkah laku sosiai yang menyeleweng (devian) tetapi sengaja menjadikan aktiviti ini sebagai hobi mereka. Contohnya dapat diihat, terdapat segelintir si penculik yang menculik kanak-kanak untuk memenuhi tujuan mereka tertentu seperti seksual dan minat sahaja tanpa memikirkan hal lain. Namun demikian, ada si penculik berbuat begitu untuk memenuhi keperluan wang ringgit dengan meminta tebusan kepada keluarga yang dikena culik. Antara perkara-perkara lain yang menyebabkan mereka terjerumus melakukan fenomena sosial ini adalah dendam pada cinta tidak berbalas, cemburu, tekanan dan sebagainya. Perkara-perkara inilah yang menjadi nadi utama menggerakkan mereka supaya melakukan tingkah laku menyeleweng (devian) ini.

Berkenaan dengan kes-kes penculikan di Malaysia sejak akhir-akhir ini, tumpuan perbincangan akan menjurus kepada kes-kes yang melibatkan kanak-kanak seperti adik Nurin Jazlin Jazimin (8 tahun), adik Asmawi bin Jalalludin dan adik Sharlinie Mohd. Nashar (5 tahun) yang berakhir dengan tragedi kehilangan, penyiksaan dan pembunuhan. Kes-kes ini bukan sahaja mendapat liputan meluas pihak media massa dalam jangka waktu yang lama malah menjadi bualan ribuan rakyat Malaysia yang benci akan tindakan menculik ini. Perkara yang menyahat hati kita ialah kehilangan dan pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak yang tidak berdosa ini oleh si penculik yang bersikap seperti binatang buas.

Bagi kes yang melibatkan kanak-kanak perempuan adik Nurin Jazlin Jazimin (8 tahun) yang dilaporkan hilang sejak 20 Ogos, 2007 mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang bersimpati dengan kesengsaraan ibu bapanya yang tidak putus asa mencarinya. Insiden kehilangan adik Nurin Jazlin Jazimin yang merupakan pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak apabila keluar bersendirian untuk ke pasar malam yang berhampiran dengan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Keluarganya telah membuat laporan di atas kehilangan adik Nurin Jazlin Jazimin ini di balai polis kerana khuatir akan keselamatan beliau. Bagaimana pun, doa dan harapan semua pihak supaya adik Nurin Jazlin Jazimin selamat ditemui dan diserahkan kepada ibu bapanya tidak kesampaian sebaliknya menjadi igauan buruk apabila kanak-kanak terbabit sah menjadi korban pembunuhan kejam serta mangsa penderaan seksual.

Bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati pembunuh telah memasukan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa menyebabkan rektum mangsa pecah hingga dijangkiti bakteria. Faktor inilah yang menyumbangkan kematian adik Nurin Jazlin Jazimin. Melalui ujia asid deoksiridbonukleik (DNA) ke atas mayat adik Nurin Jazlin Jazimin di dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya membuktikan ia adalah beliau. Proses pengecaman oleh ibu bapa adik Nurin Jazlin Jazimin mendapati fizikal kanak-kanak itu ditemui mati dengan keadaan “kurus kering” selain daripada pelbagai kesan lebam pada badannya yang menyebabkan mereka sukar mengenalinya. Kesudahan kes yang pertama ini meninggalkan seribu kekesalan di hati ramai pihak betapa mudahnya seorang kanak-kanak kecil diperalatkan bagi tujuan tertentu lantaran kes penculikan yang boleh dilabelkan sebagai fenomena sosial yang menyeleweng ini.

Nama : Nurin Jazlin Binti Jazimin
Umur : 8 Tahun
Tahun : 2
Sekolah : Sekolah Rendah
Kebangsaan Desa
Setapak
Nurin Jazlin Binti Jazimin,
Lahir pada 11-9-1999,
Kembali ke Rahmatullah
17-9-2007 (5 Ramadan 1428), Amin.

(Sumber : Laman Web Utusan Malaysia)
Bagi kes yang kedua di mana melibatkan adik Sharlinie Mohd. Nashar yang berusia 5 tahun, kes penculikan ini berlaku pada waktu siang hari di sebuah taman permainan berdekatan dengan rumahnya. Peristiwa penculikan ini berlaku kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29, Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya. Tragedi ini adalah salah satu lagi dalam siri penculikan dan pembunuhan kanak-kanak di Selangor yang kini semakin berleluasa. Pada masa kehilangan adik Sharlinie Mohd. Nashar ini dia memakai baju-T berwarna merah dan skirt berwarna biru muda serta selipar warna merah jambu.

(Sumber : Laman Web Utusan Malaysia)

Sebagaimana yang kita ketahui, kes penculikan yang melibatkan adik Sharlinie Mohd. Nashar ini mengambil masa yang lama di mana sampai hari ini ianya menemui jalan buntu untuk ditemui semula. Kes seumpama ini seolah-olah memperlihatkan para penculik sudah bijak dengan modus operandi mereka daripada dikesan pihak berkuasa. Penjenayah seperti ini mampu melakukan kegiatan apabila melihat peluang yang ada dan menjangkakan bahawa kegiatan yang mereka lakukan tidak membawa banyak masalah kepada mereka. Kes-kes penculikan yang tidak dapat diselesaikan oleh pihak polis juga menjadi faktor kepada penjenayah bagi melakukan perkara yang sama berulang kali. Penjenayah beranggapan bahawa taktik mereka sudah berjaya dan kegitan mereka seperti sukar dijejaki oleh pihak polis.

Peranan Subjek Kesihatan Diri Dan Keluarga

Generasi pelajar merupakan manusia penting dalam membangunkan masyarakat. Walaupun mereka adalah golongan yang terletak dalam strata yang pling bawah dalam organisasi sekolah namun mereka merupakan golongan yang berpotensi besar memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Generasi baru hari ini bakal mewarisi budaya bangsa sendiri supaya tidak mati dan tengelam dek ombak gejala sosial yang kian mencabar. Sekali gus, mereka melahirkan identiti diri dan nilai kepercayaan yang teguh supaya sentiasa peka dengan kitaran ekonomi seasa dan menentukan nilai sosial yang baik. Keadaan dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dalam gejala fenomena sosial yang menyeleweng (devian) pada waktu ini (Abdullah Sani Yahya, 2005).

Dalam mewujudkan pelajar yang menyedari kepentingan budaya bangsa yang bakal diwarisi oleh mereka, penting pada mereka adalah keperibadian yang tinggi. Di samping itu melahirkan identiti dan kepercayaan yang teguh pada anutan atau kepercayaan yang mereka pegang. Seterusnya memajukan diri mereka sebagai pelajar ke arah meninggikan taraf ekonomi dan menentukan nilai sosial yang baik.

Sebagai seorang pelajar, memberi penekanan pada proses pemilihan nilai dan proses membuat keputusan adalah sebagai elemen yang amat penting (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1993). Lazmnya nilai aalah berbentuk sarwajagat. Oleh yang demikian, sebagai pelajar yang baik dan bertanggungjawab mereka wajar mewarisi nilai-nilai yang baik dalam kehidupan mereka. Pada peringkat sekolah, matlamat pendidikan adalah supaya pelajar dapat menghayati nilai-nilai sejagat dalam kehidupan manusia. Nilai-nilai yang dimaksudkan antaranya adalah nilai kebenaran, hormat-menghormati, keadilan, taat setia, kebersihan, kerajinan, kasih sayang dan sebagainya. Nilai-nilai ini merupakan pegangan nenek moyang kita dahulu seharusnya diwarisi oleh generasi pelajar supaya mereka menjadi manusia yang dipandang mulia oleh masyarakat.

Selaras dengan usaha untuk memantapkan institusi keluarga di negara ini supaya terus subur dan kekal setiap ahli masyarakat harus mengamalkan budaya penyayang dan hidup bermuafakat dengan anggota-anggota masyarakat yang lain. Setiap orang saling faham memahami dan hormat-menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang muda. Individu di dalam masyarakat penyayang tidak hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang jelas membawa bencana kepada orang-orang di sekeliling mereka. Pendek kata, pemupukan nilai yang baik mestilah bermula di rumah dan ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka dengan penuh didikan yang rasional. Pendidikan seharusnya bermula di rumah, ibu bapa juga wajar menunjukkan contoh teladan yang baik, memberi pendidikan dengan nasihat yang berguna. Pendidikan dari segi iman dan moral tidak harus diketepikan sebaliknya dianggap penting dan wajib supaya anak-anak akan menjadi manusia yang baik dan bertanggunjawab.

Faktor menambah baik ekonomi juga harus diberi penekanan dalam melahirkan seberapa ramai rakyat yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran mengikut bidang ekonomi yang diceburi oleh mereka. Adanya konsep yang sedemikan, pelajar perlu menerajui bidang ekoomi dengan lebih baik supaya masyarakat memandang tinggi pada mereka. Harapan masyarakat adalah terlalu tinggi pada pelajar-pelajar yang berilmu dan dapat meningkatkan lagi taraf ekonomi sesebuah keluarga mahupun negara. Keadaan ini dapat menghindari diri daripada terjebak dalam aktiviti sosial yang tidak sihat.

Kesimpulan

Tahap perkembangan permasalahan tingkah laku sosial yang menyeleweng (devian) yang melanda para remaja berada pada kedudukan yang meruncing di mana memerlukan tindakan segera untuk mengatasinya. Saban hari kita mendengar masalah yang melibatkan para remaja bersabit dengan kes-kes ringan dan jenayah. Dalam hal ini, kemampuan pihak ibu bapa, guru dan masyarakat dalam membendung gejala ini daripada terus berlaku wajar diberi perhatian. Setiap pihak harus berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan golongan pelajar. Walau bagaimanapun, peranan institusi keluarga amat penting dalam membendung masalah ini. Fungsi nilai-nilai serta kepercayaan yang bersandarkan kepada budaya hidup, taraf pendidikan, sosio-ekonomi dan keluarga turut menjadi benteng dalam mengekang fenomena tingkah laku sosial daripada terus berlaku.

Bibliorgafi:

____________.(2007). Modul HBHE2203 Kesihatan Diri dan Keluarga. Universiti
Terbuka Malaysia : Meteor Doc. Sdn. Bhd.


__________.(1996). Akademik. Bil.112 Jun/Julai. Kuala Lumpur : Nurin Enterprise.


Abd. Rahim Abd. Rashid. (1993). Pendidikan Nilai Merentasi Kurikulum.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Abdullah Sani Yahaya. (2005). Mengurus Disiplin Pelajar. Selangor : PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.


Detikdaily-Nurul Izzah Kesal Dengan Penculikan Adik Asmawi. Dipetik daripada,
http://www.detikdaily.net/v4/modules.php?name=News&life=article&sid=1728


V. Raman. (2008). Artikel: Masalah Sosial Di Kalangan Remaja.
Dipetik daripada, http://samsclub.ipbfree.com/lofiversion/topic7616/







Comments

Popular posts from this blog

Sejarah 2 (Nota Tema 1-Sejarah Asia Tenggara, Timur dan Selatan)

Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA STPM/S940 940/2 Kertas 2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan, dan AsiaTimur, 1800-1963 Bahagian B : Asia Tenggara, Asia Selatan, dan Asia Timur (Myanmar (Burma), Thailand, Laos, Kemboja (Kampuchea), Vietnam, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura,India, Pakistan, Sri Lanka, China, dan Jepun).

NEGARA PERSEKUTUAN

Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang berlandaskan perlembagaan bertulis sebagai undang-undang tertinggi. Ia mengamalkan sistem kerajaan persekutuan dan mengandungi 13 buah kerajaan negeri serta Wilayah Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan yang wujud pada hari ini adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan dipinda pada tahun 1963 untuk membolehkan penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perlembagaan ini mengandungi 181 Perkara yang dibahagikan kepada 14 bahagian. Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan seperti kebebasan asasi rakyat, kewarganegaraan, badan perundangan, dan kewangan.

AGAMA RASMI

Islam adalah agama rasmi Kerajaan Malaysia seperti yang telah tertakluk dibawah Perlembagaan Negara Malaysia .Perlembagaan mempunyai kedudukan istimewa. Ia merupakan satu-satunya institusi atau sumber perundangan yang tetap dan tertinggi. Pekara berkaitan agama didalam perlembagaan dinyatakan di bawah perkara berikut : Perkara 3 : • Ugama Islam ialah Ugama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. • Dalam tiap-tiap Negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja,kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diistiharkan oleh Pelembagaan Negeri itu, segala keistimewaan hak kedaulatan dan kuasa dinikmati olehnya sebagai Ketua Ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat tetapi tiadklah tersentuh atau tercatat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan,maka tipa-tiap orang R