Skip to main content

Komunikasi Masa

Pengenalan

Komunikasi massa merupakan perkara yang sangat penting di dalam perhubungan manusia. Komunikasi massa adalah satu proses penyebaran maklumat dan hiburan kepada manusia sejagat. Dalam proses penyampaian maklumat dan hiburan ini, komunikasi berlaku di antara pihak-pihak tertentu dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Proses penyaluran maklumat melalui komunikasi massa merupakan satu proses yang sangat kompleks di mana melibatkan peranan aktor seperti institusi media, pengamal media, pengiklan dan khalayak dari pelbagai latar belakang. Perantara media massa seperti buku, filem, televisyen, radio, surat khabar dan media atas talian membolehkan masyarakat memperolehi banyak maklumat tanpa mengira batas waktu dan ruang. Hal ini menyebabkan media massa berupaya mempengaruhi kehidupan manusia dewasa kini dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, dan sosial.

Dalam konteks komunikasi massa, peranan media massa sebagai saluran komunikasi adalah sangat penting. Proses penyaluran dan perkongsian maklumat dari sumber-sumber tertentu menerusi media massa kepada khalayak merupakan pokok persoalan yang terpenting dalam menjamin keberkesanan proses dan kesan komunikasi massa. Dalam masyarakat moden kini, evolusi komunikasi massa telah banyak memberi kesan kepada perhubungan antara individu (interpersonal) dan masyarakat keseluruhannya. Peri pentingnya komunikasi massa dalam kehidupan manusia disajikan dengan pelbagai bentuk hiburan dan maklumat yang terkini. Dominick (2002), menjelaskan bahawa komunikasi massa adalah proses mentransmisi mesej oleh sesebuah institusi yang kompleks kepada khalayak yang ramai dan heterogeneous dari pelbagai lokasi.

Justeru, di atas kepentingan komunikasi massa ini, fokus tugasan ini akan berkisar kepada fungsi dan kesannya dari perspektif isu-isu kontemporari akhbar-akhbar utama di negara kita. Dalam usaha meninjau isu-isu kontemporari ini, akhbar Utusan Malaysia (UM) dan New Straits Times (NST) akan dijadikan akhbar kajian bagi tujuh (7) berita utama dalam masa seminggu penerbitannya.

Media Massa

Dalam konteks komunikasi massa, media massa merupakan alat (tools) bagi menyalurkan pelbagai bentuk maklumat. Media massa disifatkan sebagai perantara mekanikal yang mengandungi, menyimpan dan mentransmisi mesej melalui institusi seperti media cetak dan media elektronik. Antara lain, media cetak mencakupi surat khabar, majalah, risalah, dan buku-buku manakala media elektronik pula meliputi radio, filem, rakaman, televisyen, dan komputer (internet).

Pada masa sekarang, globalisasi telah melatakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi. Dunia disifatkan tiada sempadan dan ruang lingkup langit sesebuah negara terbuka luas kepada sebarang bentuk maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media massa seperti internet, media elektronik dan teknologi siber. Kepelbagaian bentuk media massa lain seperti media cetak, media siaran dan teknologi komunikasi yang menggabungkan komputer dan televisyen turut menyumbang kepada perkembangan komunikasi massa. Perkembangan ini memungkinkan perkembangan perhubungan di antara manusia dan negara dapat dilakukan dalam tempoh masa yang singkat. Oleh yang demikian, media massa merupakan pengganda maklumat yang berpontensi menyalurkan banyak maklumat. Kemampuannya disifatkan sebagai jaringan maklumat yang canggih dan serba moden.
Fungsi Media Massa

Dalam proses pembangunan negara Malaysia yang kian pesat, keperluan masyarakat kita turut bertambah kompleks khususnya yang berkaitan dengan komunikasi massa. Setiap lapisan masyarakat perlu membentuk perhubungan dengan orang lain maka dengan ini keperluan komunikasi mereka juga turut meningkat. Fungsi media massa bagi masyarakat kita sangat sinonim dengan proses kemajuan negara. Keadaan ini memperlihatkan fungsi komunikasi massa disifatkan sebagai pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur adalah tepat. Keempat-empat fungsi media massa ini berupaya memenuhi pelbagai keperluan komunikasi massa masyarakat kita pada masa kini. Walau bagaimanapun, terdapat pandangan lain yang mengatakan di ‘peringkat makro’ iaitu pada tahap masyarakat keseluruhannya fungsi media massa mempunyai tujuan-tujuan berikut:

Rajah 1: Fungsi Utama Komunikasi Masa
Sumber : Modul OUM : Komunikasi Massa dan Teknologi Komunikasi (Bab 9)

Kupasan selanjutnya akan tertumpu kepada fungsi media massa yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Secara praktiknya, kesemua fungsi media massa yang akan dibincangkan adalah saling berkait rapat dengan kehidupan kita sehari-hari, di mana sebagai pengguna media kita tidak lepas daripada dipengaruhinya dan kita juga turut mempengaruhi media massa.

Pemerhati

Fungsi media massa sebagai ‘pemerhati’ dapat didefinisikan sebagai pemerhati yang mengawasi (surveillance) akan sebarang peristiwa yang berlaku di sekitar masyarakat. Terdapat dua jenis pemerhatian yang berkaitan, iaitu fungsi pengawasan memberi amaran (warning) dan pegawasan instrumental. Pengawasan berbentuk amaran digunakan untuk mengingatkan khalayak (masyarakat) akan sesuatu kejadian atau malapetaka yang bakal berlaku. Antara kejadian yang sebegini adalah seperti bencana alam iaitu banjir, gempa bumi, tsunami, pemanasan global, kemerosotan ekonomi, inflasi, kenaikan harga barang, peperangan dan wabak penyakit. Laporan yang berkaitan dikatakan sebagai berita dan maklumat yang sangat penting.

Peringatan berbentuk amaran (warning) ini akan memberi ruang agar masyarakat besiap sedia menghadapi situasi ini jika berlaku. Dalam kes ini, media massa seperti televisyen, radio dan surat khabar akan menyalurkan berita untuk tatapan umum. Dengan ini, masyarakat akan bersedia bagi menghadapi setiap kemungkinan yang akan berlaku.

Pengawasan berbentuk instrumental pula lebih membantu masyarakat memperolehi maklumat seperti bursa saham, produk baru, fesyen, resepi dan sebagainya. Peranan ini tidak bersifat amaran (not warning) sebaliknya berita-berita yang berinformasi melalui penerbitan untuk menyalurkan maklumat di samping menghiburkan. Fungsi ini boleh dimainkan oleh media massa seperti majalah. Rajah 2 di bawah memaparkan fungsi pengawasan media massa dalam konteks pemerhati yang bersifat amaran dan instrumental.

Rajah 2 : Pengawasan Media Massa
Sumber : Modul OUM : Komunikasi Massa dan Teknologi Komunikasi (Bab 9)


Pentafsir

Fungsi media massa sebagai ‘pentafsir’ pula dapat didefinisikan sebagai menginterpretasi maklumat berdasarkan fakta dan data tertentu berkenaan dengan peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Keadaan menginterpretasi maklumat berlaku apabila matlamat, maksud dan kesignifikan sesuatu peristiwa ditafsir dalam bentuk rencana, forum, analisis peristiwa dan penyuntingan dilakukan menurut kepentingan dan keutamaannya.

Dalam konteks isu semasa seperti kegawatan ekonomi negara baru-baru ini, pentafsiran fakta dan data yang berkaitan sewajarnya diselami oleh masyarakat dengan baik. Pelbagai istilah teknikal yang berkaitan seperti pedagang mata wang pesisir, kejatuhan ringgit dan spekulator mata wang perlu dihuraikan melalui forum, kritikan, artikel dan sebagainya bagi membolehkan masyarakat mengetahui isu-isu tersebut dengan baik. Sebagai contoh, forum perbincangan ekonomi sebuah syarikat penyiaran tempatan, TV3 melalui program ‘The Exchange’ misalnya, dapat memaparkan interpretasi, komen dan pendapat mengenai sesuatu pemberitaan ekonomi supaya pembaca dapat memperolehi perspektif mendalam mengenai isu terbabit.

Fungsi ‘pentafsir’ ini dapat dilihat dalam rencana yang menganalisis isu-isu semasa supaya khalayak dapat memperolehi berbagai pandangan yang boleh dinilai sendiri oleh mereka secara logik dan bernas.

Penghubung

Selain itu, fungsi media massa sebagai ‘penghubung’ (linkage) bertujuan menghubungkan masyarakat sama ada individu dengan individu, masyarakat dengan masyarakat, peristiwa dengan masyarakat, persekitaran dengan masyarakat, mahupun sejarah silam dan budaya dengan masyarakat semasa. Misalnya, dalam isu pengiklanan media massa cuba menggabungkan keperluan pengguna (pembeli) dengan produk. Berkaitan dengan pilihanraya, para pengundi akan mengumpul maklumat berkenaan dengan wakil rakyat mereka melalui surat khabar, televisyen, radio, dan laman web. Melalui contoh-contoh di atas, jelas memperlihatkan fungsi menyamaikan mesej kepada khalayak merupakan peranan penting yang dilakukan oleh media massa.

Dalam konteks masa kini, peranan pelbagai media massa seperti internet dengan laman web tertentu berupaya menghubungkan antara dua atau ramai individu atau membentuk komuniti maya. Kemudahan yang disediakan seperti laman web ini dapat menghubungkan pelbagai komuniti untuk berkongsi pendapat dan pengalaman hidup mereka dengan orang lain yang setara permasalahannya.

Dari sudut sosialisasi dan nilai moral, fungsi media massa sebagai ‘penghubung’ merujuk kepada jalinan hubungan antara ahli masyarakat. Misalnya, Program Jejak Kasih (TV3), Tukar Suka-Sama-Suka, Dari Hati Ke Hati (Radio RIMA), dan Pilihan Bersama (FM Stereo) dapat menjalinkan hubungan antara masyarakat yang berlainan latar belakang, agama, bangsa dan budaya. Keadaan ini dapat merapatkan perpaduan kaum di negara ini dalam jangka masa yang panjang.

Penghibur

Manakala, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ adalah untuk menghibur (entertainment). Pada hemat saya, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ adalah lebih dominan tugasnya berbanding dengan fungsi lainnya di samping menjadi ‘trendy’ bagi kebanyakan media massa di Malaysia. Konsep penghibur disalurkan oleh media massa sebagai pelengkap kepada persoalan-persoalan lain untuk menarik minat terus para khalayak.

Jika diteliti secara khusus, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ ini banyak menyajikan aspek kehidupan yang berkaitan dengan hiburan. Misalnya, pelancaran album baru, fesyen terkini, konsert artis popular, filem terbaik dan sebagainya. Di samping itu, diketengahkan juga acara anugerah dan tamasya di peringkat antarabangsa seperti ‘The Academy Awards’ bagi memaparkan isu hiburan seluruh dunia.

Pakej untuk memberi hiburan kepada audien jelas merupakan intipati utama kebanyakan media massa bercorak ini. Hiburan yang disalurkan dan dipaparkan oleh pihak media dimanfaatkan sepenuhnya oleh khalayak bagi memecahkan kesunyian, menghidupkan suasana harmoni, ceria dan sebagainya. Daripada huraian di atas, jelaslah fungsi pemerhati dan pentafsir banyak digunakan atau lebih dominan fungsinya dalam laporan surat khabar Utusan Malaysia dan New Straits Times yang dikaji.

Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa fungsi media massa di negara ini adalah bersifat pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur ada mempunyai kebenarannya. Peranan media massa ini secara langsung banyak mempengaruhi cara hidup masyarakat kita sehari-hari. Bagi menentukan fungsional dan dysfungsional media massa yang berkaitan dengan pengaruh baik dan buruk media massa, masyarakat kita perlu bijak dan rasional bagi menapis segala isi kandungannya. Secara jelasnya, alaf baru kini memperlihatkan kesan media massa yang serius dalam masyarakat kita di Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Kepentingan Seni Visual, Muzik Dan Pergerakan

Pendahuluan Sistem pendidikan di Malaysia sentiasa mengalami perubahan selari dengan peredaran zaman dan tuntutan keperluan negara masa kini. Sifat pendidikan tidak statik malah menarik perhatian dan menuntut perubahan dalam proses penyampaian ilmu. Cabaran negara pada masa kini ialah membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia. Menurut Ayob Jantan (2005) cabaran utama yang dihadapi oleh sistem pendidikan kebangsaan adalah melahirkan warganegara yang berdaya tahan, dinamik, progresif, berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan berdaya saing pada peringkat nasional dan antarabangsa. Dalam hal ini, pendidikan yang berkualiti bakal menyumbang inovasi dan produktiviti yang tinggi bagi menangani cabaran negara dalam arus globalisasi. Selari dengan ini, usaha-usaha memantapkan sistem penyampaian, menyediakan tenaga pengajar yang berkelayakan dan memastikan kurikulum adalah relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara. Dalam konteks pendidikan yang luas dan menyeluruh, Seni Dalam...

SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN

• Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif. • Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia. • Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia ya...

Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006. Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan. Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipe...